Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


“KALI terakhir saya jumpa dia, 4 petang kelmarin (Jumaat) dan selepas itu kami tidak bertemu lagi. Saya tidak pasti apa berlaku kepada dia, sama ada dia ada musuh atau tidak,” kata S Rajan, 31.

Dia adik kepada S Raju, 39, yang ditemui meninggal dunia dengan tangan dan kakinya terikat di Tasik Paya Bungor, Gambang, Kuantan, hari ini.

Lelaki itu dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua hari dan mungkin dibunuh.

Rajan berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan penemuan mayat abangnya dan diminta untuk membuat pengecaman.

Menurutnya, mendiang Raju bekerja sebagai mekanik dan sering berulang dari Sri Jaya, Maran ke Gambang untuk melakukan kerja membaiki kenderaan.

Malah katanya, mendiang juga jarang berjumpa dengan ahli keluarga lain.

“Saya dipanggil polis untuk membuat pengecaman di lokasi penemuan dan mayat itu memang abang saya berdasarkan wajah dan tanda pada badannya.

“Polis maklumkan bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Difahamkan, kereta Proton Wira milik mangsa dan dompetnya turut hilang dan gagal ditemui.

Sementara itu, sumber polis memaklumkan, mangsa dipercayai sudah mati sejak dua hari lalu berdasarkan keadaan fizikal ketika ditemui.

Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Mayat Raju ditemui pekerja penyelenggaraan pam air kira-kira 10 pagi, dalam keadaan tangan dan kakinya terikat.

Berita berkaitan

Mayat dalam tasik

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 5:10 PM
PEGAWAI forensik memeriksa mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh di Gambang, hari ini. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Skip this ad x