Oleh Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


Pengalamannya dalam bidang seni hanya setahun jagung, namun hasil lukisannya amat mengagumkan dan mendapat pujian ramai selepas lukisan muralnya pada dinding di sekitar Kampung Baru Mambau di sini, tular di media sosial.

Lai Teo Kuan, 60, yang tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang seni lebih gemar menggelarkan karyanya sebagai seni jalanan atau street art kerana keunikannya menggandingkan lukisan dengan elemen alam semula jadi dan struktur binaan di sesuatu lokasi.

Dia yang lebih mahir menghasilkan lukisan potret realistik kini menerima beberapa tempahan potret termasuk dari luar negara termasuk Hong Kong, Kanada dan China selepas mula terjun ke bidang seni sejak kira-kira setahun lalu.

Menceritakan detik dia boleh berkecimpung dalam bidang seni, anak jati Pulau Sebang, Melaka yang kini menetap di ibu kota itu berkata, semua bermula selepas dia cuba melukis.

“Saya tidak pernah belajar seni daripada mana-mana guru atau institusi pengajian, malah keluarga juga tiada darah seni.

“Setahun lalu timbul keinginan melukis dan hasilnya tidak mengecewakan.

“Julai lalu, saya menerima jemputan daripada penasihat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Mambau untuk memperindahkan kawasan kampung berkenaan dengan lukisan di dinding,” katanya.

Dia yang lebih mesra disapa Ah Lai berkata, lukisan mural pada dinding menjadi perkara biasa, namun dia mahu mencipta sesuatu yang lebih unik sebelum timbul idea menghasilkan lukisan bersama tumbuhan dan struktur binaan.

“Setiap lukisan dicetuskan berdasarkan kreativiti saya dengan melihat setiap benda atau tumbuhan yang boleh diindahkan. Terdapat tiga cara terhasilnya karya setiap lukisan di Kampung Baru Mambau ini yang berunsur humor.

“Pertama, imej sesuatu lukisan itu memang berada dalam minda saya dan perlu pilih tempat sesuai diterjemahkan.

“Kedua, apabila melihat sesuatu lokasi, saya melukis imej yang sesuai, manakala yang ketiga idea timbul secara spontan,” kata bapa kepada dua anak itu.

Lai berkata, sehingga kini dia menghasilkan 42 lukisan di sekitar Kampung Baru Mambau bermula 2 Julai lalu, namun satu daripadanya dipadam kerana ada penduduk tidak suka ia dilukis berhampiran rumahnya.

“Kebanyakan penduduk menyambut baik lukisan saya dan ia dikunjungi orang luar, malah tular di laman sosial sehingga mendapat permintaan melukis di kawasan komersial di Port Dickson.

“Saya tidak mahu terikat dengan permintaan mana-mana pihak yang mengarahkan menghasilkan sesuatu lukisan, sebaliknya saya lebih puas jika idea se seni itu datang daripada kreativiti sendiri,” katanya yang mendapat sokongan anak kedua, Lai Yi An, 14.

Penat lelah Lai berbayar apabila dia turut menerima pujian kerajaan negeri atas usaha mengindahkan kawasan kampung di negeri itu, sekali gus menjadi tarikan pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, kerajaan negeri juga mengalu-alukan segala usaha murni seperti itu.

“Lukisan mural yang dihasilkan berbeza apabila mengaplikasikan dua elemen iaitu lukisan dan alam semula jadi.

“Lukisan dihasilkan di Kampung Baru Mambau ini usaha sama JKKK Kampung Baru Mambau dan pelukis berkenaan.

“Projek ini usaha murni dan baik. Kreativiti pelukis menarik tumpuan orang ramai berkunjung ke kampung berkenaan,” katanya.


ANTARA lukisan karya Lai di sekitar Kampung Baru Mambau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 6:31 AM