ANGGOTA penguatkuasa JAIK menyoal pasangan yang dicekup berkhalwat di motel di kawasan perumahan di Pekan Changlun. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


LELAKI berstatus duda dicekup berkhalwat dengan pasangannya yang juga penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di motel di kawasan perumahan Pekan Changlun, malam tadi.

Kedua-dua mereka berasal dari Kelantan itu memberi alasan menumpang tidur di motel berkenaan untuk menghantar barang ketika dicekup berkhalwat oleh sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), 12.40 tengah malam.

Lelaki berusia 43 tahun itu bekerja sebagai guru sekolah memandu dan mendakwa berkenalan dengan wanita itu di Kelantan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, dalam operasi Ops Bersepadu itu, anggotanya memeriksa sebuah bilik di tingkat atas motel berkenaan dipercayai disewa pasangan terbabit.

Beliau berkata, selepas diketuk dan memberi salam, seorang lelaki yang berkemeja T dan berkain pelikat membuka pintu.

“Pada mulanya lelaki itu mendakwa wanita berkenaan adalah isterinya, namun akhirnya mengaku mereka hanya kawan selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen hubungan mereka.

“Ketika pemeriksaan, wanita itu sedang baring di atas katil dengan berpakaian lengkap,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu awal pagi, hari ini.

Radzi berkata, berikutan itu pasangan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki berkhalwat.

Beliau berkata, pasangan itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk dibuat laporan tangkapan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Radzi berkata, operasi itu disertai 30 anggota penguatkuasa dari JAIK dan Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) yang bermula 11 malam hingga 4 pagi tadi.

“Kita tertumpu di sembilan hotel bajet yang disyaki menjadi tumpuan orang Islam menyewa dengan pasangan bukan mahram untuk melakukan maksiat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 10:44 AM