BAYI yang ditemui di belakang rumah di FELDA Palong 8, Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


“SAYA minta tolong jagakan budak ini sampai besar. Saya tak mampu jaga sebab saya ibu tunggal. Tolong jangan hantar ke kebajikan/pengasuh. Saya amanahkan kepada keluarga ini untuk jaga anak ini. Saya hanya mampu tengok dari jauh. Nama ‘baby’ ini Farish Azwan.”

Itu nota ditulis pada kertas yang ditinggalkan bersama bayi lelaki ditemui di belakang rumah di FELDA Palong 8 di Jempol, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, bayi yang masih hidup itu ditemui 10.15 malam oleh penghuni rumah yang keluar untuk mengambil barang di dalam kereta.

Katanya, lelaki berusia 25 tahun itu menemui bayi terbabit ditinggalkan atas meja di belakang rumah.


NOTA yang diselitkan bersama bayi yang ditemui di belakang rumah di FELDA Palong 8, Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap

“Lelaki itu memanggil ibunya sebelum memeriksa bayi terbabit dan didapati masih hidup.

“Dia turut menemui sekeping nota ditinggalkan bersama bayi itu lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, bayi itu dibawa ke Hospital Jempol untuk rawatan.

Menurutnya, bayi terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, polis sedang giat mengesan ibu kepada bayi itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 10:02 AM