LOKASI tanah mendap di kawasan Flat PKNS, Jalan Tun Razak di Kampung Baru, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan APM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


LIMA belas keluarga membabitkan 62 orang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Jalan Hamzah, Kuala Lumpur selepas berlaku tanah mendap di kawasan kediaman mereka.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)Kuala Lumpur Kapten (PA) Aziana Hizazi berkata, PPS itu dibuka pada 1. 20 pagi hari ini selepas berlaku tanah mendap di Flat PKNS, Jalan Tun Razak di Kampung Baru, di sini.

Menurutnya, pecahan keluarga yang dipindahkan itu membabitkan 23 lelaki, 26 wanita, enam kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan dan dua bayi.

"Sebelum itu, hujan lebat melanda kawasan terbabit sejak 6.45 petang semalam.

"Kami kemudiannya menerima maklumat berlaku tanah mendap di kawasan terbabit sebelum memaklumkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Selepas itu, pihak DBKL memaklumkan agar penduduk mengosongkan kediaman sementara tindakan selanjutnya dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka ditempatkan di PPS itu sementara menunggu arahan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 6:01 AM