IMTIYAZ kecewa gambar konvokesyen ‘cacat’. FOTO Ihsan Imtiyaz Kamarudin
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


LAIN diharap, lain pula jadinya. Begitulah nasib graduan Sarjana Muda Sains (Geologi), Universiti Malaya (UM), Imtiyaz Kamarudin, 23, apabila gambar konvokesyen yang ditempah daripada jurugambar tidak seperti yang diinginkan.

Kisah Imtiyaz itu mendapat perhatian warganet selepas rakan baiknya, Ahmad Danial Zainal, 23, memuat naik gambarnya yang ‘cacat’ disebabkan bulu topi mortar dipakai terkena muka ketika mengambil skrol di atas pentas.

Rata-rata warganet yang memberi maklum balas turut berkongsi pengalaman serupa, selain meluahkan rasa simpati kepada Imtiyaz kerana tidak bernasib kerana mendapat perkhidmatan kurang memuaskan daripada jurugambar.

Menceritakan perkara sebenar, Imtiyaz berkata, dia membeli empat keping gambar daripada jurugambar berkenaan dengan harga RM50 dan menjelaskan pembayaran sebelum berlangsungnya majlis konvokesyen.

“Saya berada di Perak sebelum majlis konvokesyen atas urusan kerja dan datang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk mengambil skrol berkenaan.

“Seperti mana graduan lain, saya juga menempah gambar dan teruja menunggu ia siap dicetak untuk disimpan sebagai kenangan kerana tidak tahu bila akan melalui pengalaman itu lagi.

“Namun, perasaan itu (teruja) hilang selepas menerima gambar sedemikian rupa dan lebih membuatkan saya hampa apabila permintaan untuk mendapatkan pilihan (gambar) lain tidak diendahkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Imtiyaz berkata, bukan niatnya untuk memperbesarkan perkara itu tetapi dia berharap perkongsian di Twitter itu diambil daripada sudut positif oleh individu yang bekerja sebagai jurugambar.

Katanya, dia yakin tidak semua tetapi disebabkan sikap sambil lewa segelintir jurugambar, individu lain yang bekerja dalam bidang sama turut menerima tempiasnya.

“Saya faham jurugambar terbabit sibuk pada hari berkenaan tetapi perkara ini tidak akan terjadi sekiranya mereka mengambil lebih daripada satu sudut (gambar) bagi memberi pilihan kepada pelanggan.

“Bukan bayaran menjadi persoalannya tetapi perkhidmatan diberikan kerana majlis konvokesyen adalah hari bermakna buat graduan, jadi kesilapan teknikal pada gambar tentunya mengecewakan saya dan mereka yang menerima nasib sama.

“Malah, selepas perkongsian berkenaan tular, saya lihat ramai graduan lain turut berkongsi pengalaman serupa dan ada antaranya turut meluahkan rungutan terhadap perkhidmatan diberikan jurugambar yang sama.

“Jadi, saya harap bakal graduan lain menjadikan pengalaman saya sebagai pengajaran dan kalau boleh, elakkan menjelaskan bayaran penuh sehingga gambar siap dicetak,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Danial berkata, niatnya memuat naik video gambar rakannya itu adalah untuk berkongsi pengalaman berkenaan dengan pengikut di Twitter.

“Ikutkan, saya tidak begitu aktif di Twitter dan terkejut apabila perkongsian itu tular dan dikongsi oleh ramai warganet.

“Bukan niat saya untuk memburukkan mana-mana pihak, tetapi sekadar peringatan kepada jurugambar di luar sana untuk memberi perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 9:06 PM