ALLAHYARHAM Azalan Miswan.
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@nstp.com.my


KAKITANGAN Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang maut dalam kemalangan bas di Afyonkarahisar, Turki, semalam, akan dibawa pulang ke tanah air.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Mahfizul Rusydin Abd Rashid berkata, pihaknya akan menghantar wakil atau waris mangsa, Azalan Miswan, 50, ke negara itu, hari ini.

“Mereka dijangka bertolak malam ini bagi membantu proses pengurusan mangsa serta beberapa proses lain untuk membawa pulang jasad ke tanah air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, PKNS turut menyenaraikan empat nama kakitangannya yang mengalami kecederaan akibat kemalangan bas berkenaan.

“Mereka adalah Nor Afisah Ahmad Ferdaus, 50, dan Shamsul Bahrin Mohd Shukur, 55, yang masing-masing patah tangan dan sedang menerima rawatan di Hospital Afyonkarahisar.

“Selain itu, Zurani Muhamad Darum, 50, yang patah tangan menerima rawatan di Hospital Ozel Parkayat serta Roslan Mohamed, 58, yang mengalami kecederaan dalaman dirawat di Hospital Afonkarahisar Saglik Bilimleri,” katanya.

Difahamkan, senarai nama mangsa parah akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Azalan meninggal dunia selepas bas dinaikinya bersama 35 rakyat Malaysia terbabit dalam kemalangan pada 11 pagi dan mangsa disahkan maut di lokasi kejadian pada 11.45 pagi.

Ketika kejadian, bas itu dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia.

Berita berkaitan

'Bas terhuyung-hayang sebelum terbabas dan terbalik'

'Masih bincang kebumi di Turki atau Malaysia'

Azmin ucap takziah

'Tiada lagi kawan lumba ke surau'

[UPDATE] Waris masih tunggu maklumat susulan

Identiti rakyat Malaysia maut di Turki dikenal pasti

[UPDATE] Saya doakan mereka selamat

[UPDATE] PKNS tunggu maklumat kemalangan di Turki

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 7:02 PM