TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy. FOTO RAMDZAN MASIAM
Siti Sofia Md Nasir
am@hmetro.com.my


TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mengesahkan akan hadir memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman, Isnin ini.

Ramasamy berkata, kehadirannya untuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 berhubung siasatan satu artikel bertajuk ‘Kerajaan Baharu Tapi Polis Pada Takuk Lama - Ramasamy’ yang disiarkan sebuah portal.

“Pada 9 Oktober lalu, saya menerima panggilan daripada Unit D5 Bukit Aman menyatakan bahawa polis perlu ambil keterangan saya berhubung laporan polis dibuat terhadap saya.

“Tarikh ditetapkan dan dipersetujui adalah pada 10 pagi 21 Oktober ini di Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 17 September lalu, Ramasamy dilaporkan berkata, beliau melahirkan rasa terkilan dan terkejut dengan insiden berbalas tembakan antara polis dan tiga perompak lelaki berbangsa India dari Batu Caves hingga ke Batu Arang yang berlaku 14 September lalu.

Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Prai juga tertanya-tanya dengan insiden itu sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.

Kenyataan Ramasamy di Facebooknya disiarkan portal berita Malaysia Gazette.

Terdahulu, dalam kejadian jam 5 pagi, polis menembak mati tiga penjenayah dipercayai aktif melakukan samun pecah rumah, di Kilometer 22, Jalan Batu Arang, Rawang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 4:32 PM