KUMAR menunjukkan periuk dan lubang bayi ditanam. - Daily Mail
Agensi

New Delhi/Bangkok:Kekejaman manusia memang tidak berbatas apabila bayi yang baru dilahirkan sanggup diabaikan seperti sampah dan dibiarkan mati.

Dalam kejadian pertama di India, sepasang suami isteri yang menggali kubur untuk mengebumikan mayat bayi mereka yang mati ketika dilahirkan terkejut apabila menemui anak perempuan pramatang berusia tiga hari itu di Uttar Pradesh, India.

Daily Mail melaporkan, ketika ditemui Hitesh Kumar dan isterinya Vaishali, bayi itu berbalut dalam kain dan disumbat dalam periuk tanah liat sebelum ditanam.

Dia yang mengalami kesukaran bernafas terus dihantar ke hospital dan dirawat untuk jangkitan paru-paru.


BAYI diberi nama Sita masih dirawat di hospital. - Daily Mail

Telegraph melaporkan bayi itu diberi nama Sita oleh kakitangan hospital dan Kumar serta Vaishali kini berharap dapat mengambilnya sebagai anak angkat.

“Kami rasa seperti anak yang mati itu sudah kembali kepada kami,” katanya.

Menurut doktor, dia kemungkinan mendapat oksigen melalui liang tanah yang membolehkannya terus hidup.

“Beratnya hanya 1.08 kilogram dan keadaan menunjukkan dia bayi pramatang yang berusia tiga hari ketika dibawa ke hospital.

“Bayi pramatang biasanya tidak memerlukan bekalan oksigen banyak untuk hidup. Nyata bayi ini sangat kuat semangat,” kata Dr Saurabh Anjan.

Sementara itu, di Bangkok, Thailand, bayi perempuan dipercayai berusia seminggu ditemui di bawah kotak alat pengering rambut yang dibuang dalam tong sampah di sebuah lorong terpencil.

Bayi itu secara kebetulan ditemui penduduk, Maneerang Phangmam, 32, yang sedang mengutip botol lama untuk dikitar semula.

Maneerang berkata, dia melihat kotak ungu di sebalik sisa makanan mereput dan terkejut apabila melihat bayi itu dibalut selimut di bawahnya.

Bayi itu tidak bersuara malah ketika ditemui berada dalam keadaan terbalik, tetapi ajaibnya masih hidup.

“Saya melihat dalam kotak itu, mana tahu ada benda berharga yang boleh dikitar semula. Apabila melihat bayi itu saya terus menjerit menyebabkan jiran datang dan menghubungi polis serta ambulans,” katanya.


BAYI yang ditemui di dalam tong sampah di Bangkok. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 6:55 AM