KETUA jurulatih Skuad B-23 Negara, Datuk Ong Kim Swee ketika sesi latihan skuad B-23 negara di Stadium Shah Alam bagi persiapan perlawanan persahabatan menghadapi pasukan Australia B-23 ahad ini.
Oleh Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Lega terselamat daripada kumpulan maut, namun belum tentu laluan bagi pasukan bola sepak bawah 22 (B-22) mudah untuk ke pusingan seterusnya apabila bertemu Filipina yang memiliki kelebihan sebagai tuan rumah.

Malah, pengendali skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee turut melihat Myanmar dan Kemboja mampu memberikan tentangan sengit berikutan masing-masing membuat persiapan rapi menjelang temasya itu.

Kim Swee berkata, semua pasukan kumpulan A memiliki kekuatan seimbang terutama membabitkan tuan rumah yang sudah pasti mahu membawa pulang ibu segala pingat emas di hadapan penyokong sendiri.

Walaupun sasaran utama melangkah ke pentas final acara terbabit, namun Kim Swee tidak mahu memandang sebelah mata terhadap keupayaan pasukan lain yang berpotensi melakukan kejutan sekali gus menidakkan peluang negara untuk memperoleh pingat.

“Jika nak layak ke peringkat lebih jauh, kita seharusnya memikirkan strategi untuk setiap perlawanan kerana jadual ketika saingan Sukan SEA padat.

“Pada peringkat kalah mati atau separuh akhir sudah pasti setiap pasukan akan memberikan persembahan terbaik dan skuad negara perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Malaysia yang kali terakhir memenangi emas pada edisi 2011 di Jakarta, diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan tuan rumah, Myanmar, Kemboja dan Timor Leste.

Penyandang pingat emas, Thailand, bakal menerima cabaran sengit selepas diundi bersama Vietnam, Indonesia, Singapura, Laos dan Brunei dalam saingan kumpulan B.

Edisi terakhir temasya dwitahunan itu di Kuala Lumpur pada 2017 menyaksikan Malaysia merangkul pingat perak selepas tewas 0-1 kepada Thailand di Stadium Shah Alam.

Thailand muncul sebagai pasukan paling berjaya dengan rekod kejayaan meraih pingat emas sebanyak 16 kali sepanjang penganjuran Sukan SEA.

Sementara itu, Kim Swee berkata, setakat ini beliau belum lagi menyenaraikan 25 pemain untuk dipanggil menjalani latihan sebagai persiapan ke kejohanan dwitahunan itu.

“Kita mahu beri laluan kepada beberapa pemain seperti Syamer Kutty, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya sebelum memanggil mereka selepas perlawanan menentang Indonesia nanti.

“Setakat ini, dua perlawanan persahabatan dijadualkan berlangsung sebelum senarai akhir pemain diumumkan kelak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 6:01 AM