JUDIKA teruja bakal buat persembahan diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


PERNAH menyimpan hasrat untuk mengadakan konsert solo di Malaysia, penyanyi popular dari Indonesia, Judika tidak menyangka perkara itu akhirnya terlaksana apabila dia bakal mengadakan konsert solo pertama di Dewan Filharmonik Orkestra (DFP), Kuala Lumpur pada Sabtu dan Ahad ini.

Judika, 41, atau nama sebenarnya Judika Nalon Abadi Sihotang berkata, walaupun teruja apabila diberikan penghormatan untuk mengadakan konsert solo di situ, dia pada awalnya hampir menolak pelawaan berkenaan kerana tidak pernah menyanyi bersama iringan muzik orkestra.

Judika berkata, dia perlu mengambil masa lama untuk menerima pelawaan itu.

Selain itu, dia juga penyanyi lelaki Indonesia pertama yang akan mengadakan persembahan di pentas berprestij berkenaan dengan iringan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) selepas Ruth Sahanaya yang mengadakan konsert solo tahun lalu.

“Pertama kali saya akan mengadakan konsert dengan iringan orkestra dan pastinya rasa agak janggal kerana saya adalah penyanyi rock, malah sebelum ini jika ingin mengadakan konsert saya akan membawa pemuzik iringan sendiri.

“Saya akui gembira dan teruja. Saya berharap persembahan itu nanti akan dapat menghiburkan penonton dan saya cuba memberikan yang terbaik untuk semua peminat,” katanya.


BUAH hati pengarang jantung Judika.

Bakal mempersembahkan himpunan lagu popularnya seperti Aku Yang Tersakiti, Bukan Dia Tapi Aku, Kisah Yang Kuinginkan dan beberapa lagi, Judika turut menjemput penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor sebagai penyanyi jemputan.

Berkongsi pemilihan Jaclyn, bapa kepada anak dua itu berkata, selain Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jaclyn adalah salah seorang penyanyi Malaysia yang menjadi idolanya.

“Apabila diberi pilihan untuk menjemput siapa artis untuk berduet dengan saya pastinya yang saya idolakan dan teringin untuk menyanyi bersamanya.

“Jika sebelum ini hasrat untuk berduet dengan Siti sudah terlaksana, pastinya saya mahu mencuba dengan yang lain pula. Selain meminati vokal Jaclyn, kami juga pernah berjumpa dan saya tahu vokalnya bagaimana. Itu membuatkan saya teruja untuk berkongsi pentas dengannya,” katanya.

Judika akan menghiburkan 920 penonton selama dua jam dan selain himpunan lagunya sendiri, dia turut menyanyikan lagu seperti Isabella dan Suci Dalam Debu yang mana ia adalah lagu kegemaran Judika sendiri.

Peminat yang ingin menyaksikan konsert Judika boleh mendapatkan tiket di kaunter Box Office DFP atau layari laman web www.mpo.com.my.


BERSAMA isteri tercinta.

Rai ulang tahun kelahiran anak sulung di Malaysia

Kebiasaannya tahun-tahun lalu Judika tidak mengambil sebarang persembahan atau undangan pada setiap tarikh 20 Oktober.

Ini kerana dia mahu memberikan tumpuan pada keluarga di samping meraikan ulang tahun kelahiran anak perempuannya, Cleo Deomora Boru Sihotang yang bakal menginjak usia lima tahun.

Namun, atas sebab mahu mencabar diri mengadakan persembahan bersama MPO, dia menerimanya sekali gus membawa keluarga bercuti ke Malaysia dan meraikan ulang tahun si kecil di sini.

“Pada awalnya tidak mahu terima kerana saya mahu fokus keluarga dan meraikan ulang tahun anak perempuan saya, tetapi apabila memikirkan ini kali pertama saya membuat persembahan dengan muzik orkestra saya cabar diri untuk mencuba sesuatu yang berbeza daripada yang pernah saya lakukan.

“Harapan saya semuanya berjalan lancar dan saya okay saja jika persembahan itu memerlukan saya hanya beraksi di satu tempat apa yang penting penonton gembira dan terhibur,” katanya.

Selain Cleo, suami kepada Duma Riris Silalahi itu mempunyai seorang anak lelaki iaitu Judeo Volante Sihotang, 3.

Dalam pada itu, Judika yang juga juri program realiti Big Stage musim kedua bakal tampil dengan single terbaru serta album penuh yang menampilkan 10 lagu daerah di tanah kelahirannya Indonesia.

“Untuk single saya masih dalam proses mencari material, tetapi album penuh sudah 80 peratus siap yang memuatkan 10 lagu daerah seperti Jawa, Batak, Minangkabau dan banyak lagi.

“Semuanya masih dalam proses pemilihan lagu kerana lagu daerah sangat banyak dan kita akan pilih yang terbaik untuk diusulkan kepada Menteri Pelancongan di sana sempena Tahun Melawat Indonesia yang sedang dilancarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 5:30 AM