ALLAHYARHAM Ustaz Abdullah.
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


GURU al-Quran meninggal dunia sebaik sahaja selesai mengajar di Masjid Wadihana, Mergong, di Alor Setar, semalam.

Allahyarham Ustaz Abdullah@Abdullah Sirajuddin Ahmad, 74, menghembuskan nafas terakhir selepas dipercayai rebah di ruang mengajar masjid berkenaan, kira-kira 11 pagi.

Menurut anaknya, Syeikh Zainul Mukhtar, 45, bapanya sudah mengajar al-Quran di masjid itu sejak Mac lalu dan pada hari kejadian, bapanya keluar dari rumah di Kampung Teluk Kechai, Jalan Kuala Kedah, kira-kira 9 pagi.

Katanya, Allahyarham adalah seorang yang aktif mengajar al-Quran di beberapa masjid sekitar Alor Setar selepas bersara sebagai penghulu.

“Ayah saya adalah qari al-Quran negeri Kedah satu ketika dulu, beliau aktif mengajar taranum di masjid dan di rumah. Allahyarham juga sering dijemput untuk menjadi juri pertandingan membaca al-Quran.

“Semalam, pada mulanya saya dihubungi oleh ibu saya mengatakan arwah cuma pengsan di masjid. Namun apabila ke sana, bapa saya sudah meninggal dunia dan ia disahkan oleh pegawai perubatan yang berada di situ,” katanya yang bertugas sebagai Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu.

Anak sulung daripada lapan beradik ini berkata, Allahyarham sebelum ini tidak pernah mengadu sakit dada mahupun penat, namun bapanya itu mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Katanya, dia dimaklumkan oleh seorang anak murid bapanya yang dikenali sebagai Harun bahawa bapanya meninggal dunia dengan sangat mudah sebaik sahaja rebah dari tempat duduknya.

“Kematian bapa saya menjadi tular dan arwah dijemput Ilahi dalam keadaan baik, di rumah beliau sentiasa dengan al-Quran malah jika tidak mengajar, beliau akan membaca al-Quran.

“Boleh dikatakan hidupnya hanya dengan kitab suci itu, dia juga ramai kawan dan anak murid, malah arwah sering berpesan supaya menjaga pertuturan dan menjaga adab dengan orang ramai.

“Selepas pemergiannya ini, kami sebagai anak pasti merindui alunan bacaan al-Quran beliau, namun Allah lebih sayangkan arwah dan kami reda dengan pemergiannya“ katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Zainul Mukhtar berkata, jenazah arwah bapanya sudah selamat disemadikan di tanah perkuburan Kampung Charuk Kudong, Pendang, kira-kira 6 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 2:13 PM