FOTO HIASAN
Oleh Firdaus Hashim dan Syazwan Msar
sukan@hmetro.com.my


Mungkinkah Telekom Malaysia (TM) kembali menaja Liga Malaysia (Liga M) musim depan?

Itu persoalan yang berlegar dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan saman terhadap TM berhubung isu pembayaran hak penyiaran Liga M sebelum ini.

Menurut sumber, sejak Datuk Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai Presiden MFL pada 14 September lalu, beliau sudah memulakan rundingan bersama TM bagi mencari jalan penyelesaian terbaik buat kedua-dua pihak.

“Saya dimaklumkan oleh salah seorang ahli lembaga pengarah MFL kemungkinan TM akan kembali menaja Liga M.

“Jika rundingan berjalan lancar mungkin selepas ini dah tak ada isu kelewatan pemberian geran lagi. Apapun kita harapkan semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan,” kata jurulatih yang enggan namanya disiarkan.

Semalam, MFL dalam satu kenyataan media menjelaskan, keputusan menarik balik tuntutan saman melalui notis pemberhentian yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 21 Mac lalu dibuat atas semangat kesukanan tinggi yang terjalin antara pengendali Liga M dengan syarikat gergasi telekomunikasi negara itu.

Malah, tindakan menarik balik tuntutan saman itu juga demi kelangsungan hubungan baik antara dua entiti terbabit, selain mewujudkan suasana kondusif dalam memajukan arena bola sepak negara.

Keputusan berkenaan diputuskan secara bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

Terdahulu, Arena Metro pada 23 Mac lalu melaporkan, dokumen pernyataan tuntutan 35 muka surat yang dikemukakan MFL kepada mahkamah mungkin mencetus masalah besar buat TM selepas ia mendedahkan cubaan syarikat telekomunikasi itu untuk mengubah terma tertentu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan itu, TM didakwa cuba mengubah perjanjian panjang bersama MFL yang ditandatangani pada 29 Januari tahun lalu dan tindakan itu jelas tidak dipersetujui badan pengendali liga bola sepak tempatan.

Pernyataan tuntutan yang diserahkan peguam MFL itu menyebut, kedua-dua pihak bersetuju dengan perjanjian penajaan selama lapan tahun dari 2018 hingga 2025 dan MFL akan menerima RM51.7 juta semusim untuk tempoh kitaran pertama 2018-2021.

Penajaan itu meningkat kepada RM68.3 juta pada kitaran kedua (2021-2025). Bagaimanapun, TM gagal melunaskan bayaran fasa pertama sebanyakRM25.8 juta pada 2 Januari lalu dengan fasa kedua pula menyusul pada 2 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 6:00 AM