BOMBA mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta yang remuk teruk. FOTO Ihsan Bomba.
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


EMPAT maut selepas kereta dinaiki bertembung lori tiga tan di Jalan Hutan Simpan berhampiran simpang Beluran-Telupid, Sandakan pada 1.30 tengah hari ini.

Bagaimanapun, identiti semua mangsa belum dapat dikenal pasti lagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 1.43 tengah hari.

Katanya, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran digerakkan ke lokasi dengan segera.

KERETA mangsa yang remuk teruk. FOTO Ihsan Bomba.

“Komander operasi memaklumkan kemalangan antara lori dan sebuah Proton Saga serta membabitkan lima mangsa.

“Pemandu lori terselamat, namun empat mangsa dalam kereta tersepit dan dikeluarkan pasukan, seterusnya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Semua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jurucakap itu memberitahu operasi ditamatkan pada 2.36 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 7:12 PM