KESAN lebam pada muka Shamala dipercayai didera kenalan ibu bapanya. FOTO Ihsan Navarajan
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


“LULUH hati saya melihat perubahan anak, Shamala (bukan nama sebenar) trauma dan jika namanya dipanggil dalam nada yang kuat, dia akan menangis.

“Apabila berdiri dia hanya akan menundukkan kepala sambil memegang tangannya,” kata B Navarajan, 29.

Itu reaksi Navarajan menceritakan kepada wartawan Harian Metro mengenai keadaan anaknya berusia dua tahun yang dipercayai didera kenalannya sejak Ogos lalu.

Navarajan yang menetap di Tampoi, Johor berkata, dia menyerahkan Shamala untuk dijaga kenalannya itu di Karak, Bentong, bagi membolehkan kanak-kanak itu dimasukkan ke tadika bagi mengikuti sesi terapi percakapan.

Menurutnya, Shamala mempunyai masalah untuk bercakap dan disyaki mengalami masalah autisme, jadi pasangan suami isteri kenalannya itu mencadangkannya supaya menghantar anaknya ke tadika terbabit.

Katanya, dengan hati yang agak berat, dia dan isteri bersetuju dengan cadangan mereka demi kebaikan anaknya dan menyerahkan Shamala kepada pasangan suami isteri itu.

“Namun, sejak seminggu lalu rutin harian kami berbual bersama anak menerusi panggilan video mula berubah apabila Shamala enggan bercakap, malah menunjukkan perlakuan tidak selesa apabila duduk bersebelahan wanita (kenalan) itu.

“Kami kemudiannya membuat keputusan untuk mengambilnya pada Jumaat lalu sebelum menghadiri upacara keagamaan di Batu Caves, namun sebaik sahaja tiba di Karak saya terkejut melihat keadaan fizikal Shamala yang terlalu kurus,” katanya.


KESAN kecederaan pada badan Shamala. FOTO Ihsan Navarajan

Navarajan berkata, pemeriksaan di tubuh badan Shamala kemudiannya menemui banyak kesan luka, lebam termasuk di bahagian alat sulitnya.

Berang dengan keadaan menimpa anaknya itu, Navarajan menegaskan, dia terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Bentong sebelum membawa Shamala ke Hospital Bentong untuk menjalani pemeriksaan sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

“Doktor mengesahkan ada kesan kecederaan baru dan lama pada tubuhnya berkemungkinan disebabkan objek tumpul seperti rotan atau objek lain.

“Luluh hati saya apabila melihat berat badannya turun kepada 15 kilogram (kg) berbanding 20 kg ketika mula diserahkan kepada rakan saya itu. Shamala kelihatan mengalami trauma,” katanya.

Navarajan yang mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia empat bulan, mengakui dia harus dipersalahkan atas apa yang menimpa anak sulungnya itu kerana tidak menyiasat latar belakang pasangan suami isteri itu.

Katanya, pasangan suami isteri itu adalah kenalan kepada isterinya dan mereka pernah beberapa kali datang ke rumahnya di Tampoi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis mengesahkan laporan dibuat atas kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut.

“Memang ada laporan diterima dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 5:51 PM