SPRM sedang menyiasat seorang ketua pengarah agensi penguatkuasaan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa. FOTO arkib NSTP
Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my


SEORANG ketua pengarah agensi penguatkuasaan sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan nilai mencecah RM1.5 juta.

Individu terbabit dikatakan melakukan perbuatan itu ketika berkhidmat di tiga agensi berasingan sejak 2004 hingga tahun lalu. Ia termasuk di agensi penguatkuasaan yang diterajuinya pada masa ini.

Sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro, individu terbabit sudah dua kali dirakamkan percakapannya oleh SPRM iaitu pada penghujung Ogos lalu dan terbaru pada 10 Oktober baru-baru ini selepas menerima aduan daripada pihak tertentu.

Menurutnya, antara aduan salah laku yang disiasat ke atas ketua pengarah itu ialah beliau dikatakan melakukan pecah amanah dana kerajaan RM500,000 ketika mengetuai satu unit risikan di agensi beliau bertugas pada 2004.

“Dana awam itu diperuntukkan kepada jabatan dipimpinnya untuk menjalankan aktiviti risikan. Bagaimanapun, dana itu didakwa digunakan beliau untuk kepentingan peribadi,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut sumber itu lagi, ketika berkhidmat di agensi itu juga beliau dilapor menghilangkan dua aset kerajaan iaitu kereta.

“Satu kereta didakwa dijual manakala hasilnya pula digunakan untuk kegunaan peribadi. Satu lagi kereta dilaporkan dicuri ketika disimpan di rumahnya.

“Ketua pengarah itu didakwa gagal melaporkan kehilangan kedua-dua aset kerajaan yang dianggarkan bernilai RM200,000 kepada pimpinannya,” katanya.

Sumber itu berkata, individu terbabit kemudian dipinjamkan ke sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mengetui satu jabatan yang berkaitan dengan hal ehwal pengurusan risiko dan integriti.

“Ketika menjawat jawatan itu, beliau didakwa menerima satu kenderaan mewah jenis Mercedes Benz dianggarkan bernilai lebih RM200,000 daripada seorang kontraktor,” kata sumber itu.

Menurutnya, individu terbabit kemudian dilantik sebagai ketua pengarah di sebuah agensi penguatkuasaan kira-kira dua tahun lalu dan sepanjang tempoh itu dia dilapor melakukan beberapa penyelewengan serta salah guna kuasa.

Antaranya, memberi kelulusan ke atas urus niaga untuk diri sendiri, ahli keluarga dan seorang pimpinan kerajaan pada harga yang jauh lebih rendah berbanding harga pasaran biarpun ia sepatutnya perlu melalui proses tender.

“Ketua pengarah itu hanya mengenakan bayaran RM1,000 setiap satu untuk ketiga-tiga urus niaga itu sedangkan harga pasaran sebenarnya jauh lebih tinggi iaitu antara RM200,000 hingga RM500,000 setiap satu,” katanya.

Sumber itu berkata, pihaknya belum dapat memastikan di peringkat mana siasatan dilakukan SPRM pada masa ini dan sejauh mana kemungkinan ketua pengarah terbabit bakal didakwa di mahkamah.

“Kita tidak boleh terburu-buru. Siasatan dilakukan dengan telus dan adil. Sehingga tahap ini, tidak boleh dikatakan dia sudah bersalah. Aduan yang dibuat ke atasnya mungkin betul dan mungkin juga tidak. Sebab itu SPRM perlu melakukan siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 10:00 AM