Nor Azura Abd Jalil
am@hmetro.com.my


BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas pertuduhan rasuah RM2 juta yang dihadapinya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Dalam keputusannya, Mohamed Zaini berkata, mahkamah mendapati tiada bukti UMNO menerima wang RM2 juta daripada syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd.

“Wang itu sudah dimasukkan ke dalam akaun syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd dan ia berakhir di situ. Tiada bukti bayaran dibuat kepada UMNO daripada akaun syarikat berkenaan, ” katanya.

Dalam keputusannya juga, Mohamed Zaini berkata resit yang dikemukakan kepada mahkamah tidak boleh dijadikan bukti bahawa UMNO sudah menerima wang RM2 juta daripada Aset Kayamas.

“Mahkamah turut tidak terlepas pandang hakikat bahawa resit itu ditandatangani oleh tertuduh. Saya juga mengambil kira keterangan saksi pendakwaan ke-19, Tan Sri Chai Kin Kong dan saksi pendakwaan ke-23, pegawai penyiasat Muhammad Saad Bordani.

“Oleh itu, mahkamah berpendapat bahawa resit itu adalah bukan bukti yang menyatakan UMNO sudah menerima RM2 juta daripada Aset Kayamas,” katanya.

Selain itu, mahkamah juga mendapati Tengku Adnan adalah pemegang saham terbesar di dalam syarikat Tadmansori dan pembuat keputusan utama dalam syarikat berkenaan.

Dalam keputusannya juga, beliau berkata, keterangan menunjukkan Aset Kayamas tidak mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan Tadmansori Holdings.

“Keterangan juga menunjukkan tertuduh mengetahui bahawa Aset Kayamas mempunyai urusan dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkaitan urusan penjualan dan pembangunan tanah milik DBKL,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim. manakala Tengku Adnan diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan.

Sepanjang 12 hari perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan termasuk bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz.

Mahkamah kemudian menetapkan empat hari iaitu 10, 17, 20 dan 21 Januari 2020 untuk prosiding sambung bicara peringkat bela diri.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik THSB yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, pada 14 Jun 2016 dan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan

Dibebas atau perlu bela diri?

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 9:39 AM
TENGKU Adnan Tengku Mansor ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali