Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my


SEORANG kanak-kanak yang juga mangsa letupan belon di Dataran Putrajaya di sini, kelmarin, mengakui kini trauma dan takut melihat belon.

Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 18 (1), Nurain Farisya Nor Afendi berkata, ketika kejadian, dia berada berdekatan belon berkenaan dan tiba-tiba terdengar letupan, disusuli panas di bahagian muka.

Katanya, sejurus kejadian dia berlari mendapatkan ibunya dan ketika itu bahagian atas tudungnya sudah terbakar akibat percikan api daripada belon berkenaan.

“Saya dengar ramai murid menangis ketakutan dan berlari mendapatkan bantuan.

“Selepas ini mungkin ada perasaan sedikit takut apabila melihat belon,” katanya.

Dia ditemui ketika menerima sumbangan Tabung Bantuan Segera (TBS) disampaikan Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Wan Zarina Wan Salleh di Hospital Putrajaya, semalam.

Guru SK Presint 16 (1), Hamni Misrah, 36, berkata, kejadian berlaku sangat pantas dan hanya mendengar bunyi letupan dan percikan api daripada belon berkenaan.

Katanya, sejurus kejadian dia berasa bahagian muka dan kedua-dua tangan pedih dan terus berlari mendapatkan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi mendapatkan rawatan.

“Sebelum kejadian ramai ibu bapa dan murid berkumpul bagi mendapatkan belon berkenaan termasuk yang membantu memegang tali belon dan memotong menggunakan gunting.

“Pada mulanya beberapa murid termasuk anak saya mahu mengikut mengambil belon, namun saya arahkan mereka tunggu di khemah, jika tidak mereka juga akan menjadi mangsa,” katanya.

Setakat jam 3 petang semalam, Nurain Farisya dan Hamni bersama empat lagi mangsa dewasa yang melecur tahap dua, susulan insiden belon meletup itu masih dirawat di wad Hospital Putrajaya.

Mangsa lain masih dirawat ialah Mohd Izdrdihar Mohd Ali, 32; Azlan Ahmad Sadam, 38; Surya Afindi, 32, dan Nor Asma Ismail, 41.

Hamni dan Nurain Farisya dijangka dibenarkan pulang hari ini, manakala selebihnya masih dirawat kerana mengalami kecederaan pada muka dan tangan, namun disahkan stabil.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan, 16 melecur selepas belon helium meletup pada Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2020.

Meletup mungkin diisi gas lain: TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menolak kemungkinan insiden belon helium meletup di Putrajaya, kelmarin, disebabkan belon diisi dengan gas lain yang mudah terbakar.

Beliau berkata, gas helium bukan jenis yang mudah terbakar kecuali ia turut diisi dengan campuran gas lain.

“Setahu saya jika isian belon menggunakan gas helium sahaja tiada masalah.

“Tapi kalau campur dengan gas lain semata-mata untuk kurangkan kos, itu boleh mengundang masalah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Serahan Kunci Rumah kepada mangsa kebakaran setinggan Pandan Jaya di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 7:00 AM
WAN Zarina menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Segera kepada mangsa letupan belon, semalam. FOTO Samadi Ahmad