DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay bercakap pada sidang media khas berhubung tangkapan suspek yang dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas perjuangan pemberontak Tamil Eelam (LTTE) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. FOTO Bernama
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


KERAJAAN Malaysia digelar kerajaan syaitan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula digelar polis syaitan.

Gelaran itu diberi kumpulan pengganas terdiri daripada rakyat negara ini hanya kerana keinginan mereka berjihad di luar negara dihalang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, itu yang berlaku apabila pihaknya memerangi dan memberkas kumpulan pengganas berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, apabila ditahan dan menderita di luar negara baru mereka sedar serta menyesal terpengaruh ideologi atau fahaman sesat dibawa kumpulan berkenaan.

Katanya, ada pelbagai faktor menyebabkan rakyat negara ini terpengaruh dan menyertai kumpulan pengganas antaranya kurang pemahaman mengenai agama, fanatik terhadap tokoh atau sesuatu ajaran serta pengaruh media sosial.

“Faktor utama yang menyebabkan mereka terpengaruh adalah salah tafsir termasuk mengenai jihad. Ini kerana mereka mentafsir al-Quran dan hadis mengikut kefahaman sendiri, tidak berpegang pada mazhab atau ajaran agama sebenarnya.

“Kebanyakan yang ditangkap pada awalnya niat mereka baik, tetapi mereka berjumpa individu yang kononnya mengaku sebagai tok guru dan pakar agama, tetapi sebenarnya orang yang salah dan sesat.

“Mereka terikut pula dengan tok guru mereka,” katanya ketika menjadi panel dalam Forum Perdana Sempena Hari Pahlawan di Masjid Sultan Idris Shah ll (Masjid Negeri), kelmarn.

Turut menyertai forum, Imam Besar Masjid Negeri Abd Farid Salleh, Pengasas Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) Dr Mohd Hizul Azri Md Noor dan Pengerusi YDKMM Ahmad Umair Zulkefli sebagai moderator.

Ayob Khan berkata, ramai yang terbabit dengan kumpulan pengganas kerana terlalu fanatik kepada seseorang tokoh, mazhab atau ideologi dan mereka tidak menerima pandangan orang lain.

Menurutnya, dalam operasi dan tangkapan yang dilancarkan pihaknya mendapati ramai terbabit dengan kumpulan pengganas adalah belia.

Ia berpunca daripada pendedahan kepada media sosial memandangkan kumpulan Daish ini juga menyebar fahaman serta merekrut melalui media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 6:30 AM