Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Dikurniakan empat anak yang kini berusia antara 17 dan 23 tahun namun tiga daripada mereka orang kurang upaya (OKU) pelbagai kategori antaranya autisme, lembam dan bisu.

Itu antara ujian dilalui pasangan suami isteri, Muhamad Lim Abdullah, 51, dan Rohani Abdullah, 52, yang menetap di Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak di sini.

Muhamad Lim yang juga seorang mualaf, disahkan menghidap kencing manis dan darah tinggi, manakala Rohani baru saja disahkan mengidap darah tinggi dan saraf.

“Pada masa ini, kami hanya bergantung pada pendapatan suami sebagai pengawal keselamatan sebanyak RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

“Anak ketiga berusia 19 tahun turut membantu dengan bekerja sebagai pembantu am di sebuah pasar raya dengan pendapatan RM1,100 sebulan,” kata Rohani.

Mereka yang sudah 20 tahun menetap di flat itu turut menerima bantuan Baitulmal, RM400 sebulan.

Selain itu, mereka menerima bantuan tahunan barangan dapur daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan badan bukan kerajaan (NGO).

Rohani akui pernah memohon bantuan daripada beberapa pihak untuk mendapatkan rumah lebih selesa namun belum menerima maklum balas.

“Anak-anak saya perlukan rawatan, tapi tiada wang. Dulu mereka pernah buat rawatan tapi disebabkan tiada wang untuk menampung kos tambang, kami terpaksa hentikan.

“Kami juga berharap dapatkan bantuan zakat. Pernah juga cuba ke JKM untuk menempatkan mereka di bawah rumah kebajikan tapi diberitahu pihak JKM tak nak terima sebab anak-anak sudah besar dan sukar dijaga.

“Bukan kami tak sayangkan anak, cuma untuk kebajikan mereka agar lebih selesa dan terjaga,” katanya sudah kering air mata memikirkan nasib anak-anak.

Tanpa berselindung, keluarga ini pernah beberapa kali terputus makanan kerana tidak mampu membeli beras dan lauk pauk-lantas terpaksa berhutang dengan jiran tetangga.

Menurut Rohani, dia pernah berlapar asalkan anak-anak dapat makan selain makan hanya sekali sehari saja kerana terputus beras.

“Ada juga seorang dua insan mulia yang bertanya khabar dan membantu dengan membelikan barangan dapur selain memberikan RM50 buat belanja keperluan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Lim akui pernah rasa sedih dan melihat masa depan mereka gelap kerana cuma mengharapkan anak ketiga saja untuk anak-anak lain bergantung harap.

“Walaupun semua ini ketentuan Allah, masa depan mereka saya nampak gelap, tapi harapkan anak ketiga yang normal untuk jagakan abang, kakak dan adiknya.

“Saya juga hanya harapkan simpanan KWSP saya saja untuk bantu masa depan mereka.

“Masyarakat ada yang ambil tahu namun ada juga yang pandang hina sebab anak-anak tak normal,” katanya sebak.

Pada masa ini, rumah didiami agak lusuh tanpa kemudahan kipas selain perlu membayar sewa rumah RM94 sebulan. Mereka juga mendakwa mempunyai tunggakan bil air dan elektrik lebih RM1,000.

Mereka yang prihatin dan ingin meringankan beban keluarga ini boleh membuat sumbangan ke akaun 22051024813 Hong Leong Bank (Muhamad Lim Abdullah).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 5:50 AM
ROHANI dan Muhammad Lim bersama tiga daripada empat anak mereka.