Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


HANOI: Harimau Malaya bukan skuad celup yang hebat kerana dibantu pemain kacukan dan naturalisasi hingga menyebabkan pemain tempatan kurang menyerlah terutama di jentera serangan.

Sambil menyangkal perkara itu, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, gabungan semua pemain daripada latar belakang berbeza berupaya menghasilkan keputusan positif pada setiap perlawanan.

Beliau berkata, kunci kejayaan sebuah pasukan adalah kerjasama baik antara pemain, selain mampu menerapkan strategi yang direncanakan kepada mereka sewaktu perlawanan.

Katanya, skuad kendaliannya tidak terlalu bergantung kepada pemain kacukan atau naturalisasi untuk merobek gol lawan berikutan anak buahnya yang lain turut berkemampuan berbuat demikan.

“Kami tidak bergantung kepada pemain kacukan dan naturalisasi untuk menguatkan lagi pasukan kerana pemain lain yang ada juga mempunyai keupayaan bertindak sebagai senjata rahsia,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Malaysia akan bertemu Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe berkata, kepincangan bahagian serangan turut dipengaruhi faktor pasukan Liga Super lebih bergantung kepada penyerang import, sekali gus ketandusan pemain di bahagian terbabit.


PEMAIN Harimau Malaya menjalani latihan menjelang pelawanan menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Vietman. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN

“Saya akui Liga Super lebih dikuasai penyerang import untuk mengemudi bahagian serangan seterusnya sukar mencari pemain tempatan bagi mengisi posisi itu.

“Namun, pemain tempatan turut berkemampuan menjaringkan gol walaupun tidak diletakkan di bahagian serangan, sekali gus melihat perkara itu bukan masalah,” katanya.

Sementara, pengendali skuad Naga Emas, Park Hang Soe berkata, pasukan Harimau Malaya dilihat tampil lebih berkeyakinan dengan barisan pemain mantap seterusnya boleh melakukan kejutan pada perlawanan malam ini.

Beliau berkata, bahagian tengah dan jentera serangan Malaysia begitu sistematik dan berupaya melakukan serangan pantas dalam usaha menjaringkan gol.

“Kami mempunyai dua pemain yang beraksi di Eropah antaranya Nguyen Cong Phuong sudah pulang dengan menyertai latihan sejak dua hari lalu.

“Sudah tentu kami perlu bermain lebih berhati-hati apabila melihat Malaysia sekarang ini lebih stabil dengan jentera serangan dan bahagian tengah begitu laju serta kuat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 5:30 AM