AUDREY Nelson, 35, dan Rosie Hill antara yang dibunuh Samuel.
Agensi

WASHINGTON: Bekas peninju, Samuel Little kini dianggap pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai pembunuh bersiri paling ramai mangsa di negara itu selepas banduan terbabit mengaku membunuh lebih 90 wanita sejak 1970.

Menurut Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Samuel yang dipenjarakan sejak 2012 selepas disabitkan dengan tiga pembunuhan itu, memberitahu penyiasat dia bertanggungjawab terhadap lebih 90 pembunuhan dari 1970 hingga 2005.

Dalam kenyataan, FBI mengumumkan pihaknya yakin pengakuan lelaki boleh dipercayai dan sehingga kini sudah mengesahkan 50 kes.

Samuel, 79, yang menjalani beberapa hukuman penjara seumur hidup di California sebelum dipindahkan ke penjara Texas berkata, dia membunuh 93 orang, sebahagian besarnya dicekik dan hampir semuanya wanita.

Ramai mangsanya dianggap mati akibat mengambil dadah berlebihan, kemalangan atau sebab tidak diketahui. Sebahagian mayat mangsa tidak akan ditemui selama-lamanya.

FBI menyiarkan 30 lakaran mangsa lelaki itu yang dilukis oleh Samuel ketika di dalam penjara.

FBI menyediakan laman web Confessions of a Killer (Pengakuan Seorang Pembunuh) dan memuatkan lakaran terbabit serta sejumlah rakaman video pengakuan Samuel kepada Ranger Texas dari dalam penjara.

Dalam satu video itu, Samuel menceritakan bagaimana dia membunuh wanita kulit hitam di New Orleans pada 1982 yang ditemuinya di majlis harijadi.


SEBAHAGIAN 30 lakaran wajah mangsa yang dibunuh Samuel (gambar tengah). - Fail FBI

Dia membawa wanita berusia 30-an atau 40-an itu dengan keretanya ke satu terusan.

“Saya memegang kaki dan mengheretnya ke dalam air. Itu satu-satunya pembunuhan saya lakukan dengan melemaskan mangsa.

“Saya tinggalkan dia dengan kepala dan badan dalam air. Paha dan kakinya berada di tebing,” kata Samuel.

Dia juga mengaku mencekik wanita kulit hitam di North Little Rock, Arkansas, antara 1992 dan 1994 yang menurutnya bernama Ruth.

Samuel menyasar penagih dadah dan pelacur sebagai mangsa pembunuhannya.

Penganalisis jenayah ganas FBI, Christie Palazzolo berkata, walaupun lelaki itu sudah dipenjarakan, penting kepada FBI mendapatkan keadilan untuk semua mangsanya.

Samuel ditahan di rumah perlindungan gelandangan di Kentucky pada 2012 dan dihantar ke California untuk kesalahan dadah.

Pihak berkuasa kemudian mendapati bukti DNA dikaitkan dengan tiga pembunuhan di Los Angeles antara 1987 hingga 1989 iaitu tiga wanita dipukul dan dicekik dengan mayat mereka dibuang di tempat pembuangan sampah dan garaj.

Mereka kemudian mendapati dia ada kaitan dengan pembunuhan di Odessa, Texas dan Ranger Texas Ranger datang ke California untuk menyoalnya di penjara, Mei tahun lalu.

Dia memberi senarai 90 nama mangsanya serta lokasi pembunuhan serta melakar wajah mangsa.

Samuel membesar di Ohio dan hidup gelandangan sejak muda. Dia pernah ditahan kerana mencuri serta ketagihan arak dan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 5:40 AM