ANGGOTA bomba terkejut melihat kesan parut solekan Hafizah. FOTO Hafizah Abd Rani
Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my


KREATIF dan ia seperti kecederaan sebenar. Itu hasil tangan seorang guru prasekolah yang melakukan teknik solekan kesan khas terhadap dua muridnya hingga membuatkan anggota bomba dan penyelamat terkejut ketika menyertai latihan kebakaran Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kikir, Jempol baru-baru ini.

Teknik itu dihasilkan Hafizah Abd Rani, 36, yang juga jurusolek dalam insiden itu dengan menggunakan tisu tandas, gam serta tiga jenis warna yang mana ia berjaya menghasilkan kesan parut dan kecederaan akibat kebakaran.

Menariknya, teknik ini adalah pertama kali dilakukan Hafizah dengan menjadikan dua murid masing-masing tahun tiga dan lima sebagai kejutan kepada pihak sekolah dan anggota bomba dengan menyorokkan mereka terlebih dahulu di dalam kelas dan tandas bangunan sekolah terbabit.

Menceritakan lebih lanjut, Hafizah berkata, ketika itu tercetus kebakaran di sekolah dan semua murid serta guru diarahkan berkumpul di padang.

Katanya, ketika itu, semua nama akan direkodkan dan secara tiba-tiba, terdapat dua murid tiada dalam senarai, menyebabkan anggota bomba dan penyelamat segera memasuki bangunan untuk memulakan pencarian.

“Sebaik menemui mereka, anggota bomba terkejut kerana mereka menyangka murid ini betul-betul cedera. Seorang daripada mereka ditemui bersembunyi bawah meja, manakala seorang lagi dalam tandas.

“Apa yang menarik perhatian apabila ada kesan terbakar pada baju. Sebenarnya saya membakar baju dipakai kedua-dua murid seolah-olah mereka terkena api ketika kebakaran,” katanya ketika dihubungi.


HASIL solekan Hafizah terhadap dua muridnya. FOTO Hafizah Abd Rani

Hafizah memuat naik beberapa gambar muridnya ‘melecur’ dalam Facebook miliknya hingga tular. Netizen turut memuji kreativiti yang dilakukan hingga menampakkan kedua-dua murid ini seperti mangsa sebenar.

Dalam pada itu, Hafizah yang mengajar di sekolah itu sejak 13 tahun lalu berkata, dia hanya mempelajari teknik ini menerusi Youtube sebelum mengadaptasikan dalam siri latihan ini.

“Saya suka tengok make-up (solekan) menyerupai hantu atau sesuatu yang menakutkan. Dari situ saya belajar dan alhamdulillah ia berjaya,” kata ibu kepada lima anak.


HAFIZAH (kanan) menyolek dua muridnya. FOTO Hafizah Abd Rani

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 9:28 PM