Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


“PERBUATAN tertuduh keji dan terkutuk bukan sahaja dalam agama Islam, tetapi bangsa dan agama lain.

“Hukuman ini diharapkan bukan hanya memberi pengajaran kepada tertuduh, tetapi masyarakat,” kata Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Nooriah Osman terhadap lelaki berusia 41 tahun yang berdepan pertuduhan merogol, seks luar tabii dan menghasilkan video pornografi anak kandungnya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran.

Nooriah menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan selepas tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan (KK) kerana sumbang mahram, Seksyen 377B KK kerana melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana menghasilkan video pornografi.

Terdahulu, Nooriah dalam penghakimannya berkata, tertuduh sepatutnya memberi contoh dan mendidik anaknya memandangkan mangsa berstatus OKU, tetapi bertindak sebaliknya apabila mengambil kesempatan dengan melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Perbuatan tertuduh meninggalkan trauma kepada mangsa dan hukuman diperuntukkan bagi kesalahan ini menggambarkan niat parlimen melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual,” katanya.

Tertuduh berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 376B KK apabila didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun di sebuah rumah dan beranda rumah di Marang.

Bapa kepada dua anak itu mengaku salah melakukan kesalahan itu masing-masing pada 11 pagi dan 5 pagi pada 20 dan 21 September lalu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa di sebuah rumah di Marang pada 11 pagi pada 20 September lalu.

Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan.

Tertuduh yang mengaku salah menghasilkan video pornografi menggunakan telefon bimbit milik mangsa di sebuah rumah di Marang pada 11 pagi 20 September lalu turut dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 22 September lalu.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan selama setahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang bapa bukan hanya tergamak merogol anak kandungnya yang juga OKU kategori masalah pembelajaran, tetapi dipercayai turut merakam perbuatan terkutuknya itu.

Perbuatan lelaki itu terbongkar selepas isterinya yang juga ibu mangsa berusia 33 tahun melihat rakaman video itu pada telefon bimbit suaminya.

Lelaki terbabit dipercayai menjadikan mangsa sebagai tempat memuaskan nafsu sejak anaknya itu berusia enam tahun dan mengarahkan mangsa supaya tidak menceritakan perbuatan terkutuknya itu kepada isterinya yang juga ibu mangsa.

Berita berkaitan

'Bapa dari neraka [METROTV]'

'Bapa durjana rogol anak OKU'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 5:00 PM
PEMANDU lori dijatuhi hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Imran Makhzan