Keadaan perut kucing jantan akibat diikat dengan dawai. FOTO Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia
Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my


BAHAGIAN perut hampir putus dan kesan luka mula nampak kemerahan.

Itu penderitaan kucing jalanan yang ditemui dalam keadaan perut diikat dengan dawai dekat Desa Pandan, hari ini.

Kekejaman itu yang kedua dikesan selepas kes pertama berlaku ke atas anjing yang mana kemaluan terkeluar selepas diikat dengan dawai di Nilai 3, bulan lalu.

Difahamkan, kucing jantan itu ditemui penduduk di sekitar kawasan terbabit sebelum diserahkan kepada Persatuan Haiwan Malaysia (MAA).

Presiden MAA, Arie Dwi Andika berkata, berdasarkan maklumat diterima, haiwan itu sering kelihatan berada di kawasan itu dan diberi makan oleh peniaga.

Menurutnya, namun ada pihak tidak senang hati dengan kehadiran kucing itu dan menganggap haiwan itu kotor serta menyusahkan.

“Kucing ini hilang beberapa minggu lalu dan kembali ditemui di khalayak ramai dalam keadaan perut terikat dawai yang disimpul rapi hingga perutnya mengecil, membelah dan hampir putus,” katanya ketika dihubungi.

Kisah kucing dawai itu dikongsikan dalam Facebook MAA dan meminta orang ramai supaya menanam sifat belas kasihan terhadap haiwan.

MAA juga meminta individu yang mengetahui siapa dalang di sebalik perbuatan zalim itu tampil supaya pelaku diheret ke mahkamah.

Pada masa sama, MAA memberi jaminan semua maklumat pengadu akan dirahsiakan.

Sementara itu, Ari berkata, haiwan itu diberi rawatan intensif oleh pegawai veterinar dan dijaga pihak dilantik MAA untuk tempoh beberapa bulan hingga sembuh.

“Kos rawatan dan penjagaan hingga sihat dianggarkan RM1,500,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 8:30 PM