CHENG Hoe (kiri) dan Aidil pada sidang media aksi persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu pemain yang jarang beraksi dan baru dipanggil membuktikan kemampuan dan kebolehan mereka pada aksi persahabatan menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Pengendali berusia 51 tahun itu turut mahu anak buahnya menunjukkan sikap ingin menang dan disiplin baik di dalam dan luar padang untuk dipilih bagi melengkapkan senarai 23 terakhir yang akan dibawa ke Hanoi bagi menghadapi aksi ketiga Kumpulan G bertemu Vietnam dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Khamis ini.

Cheng Hoe berkata, senarai kecederaan panjang yang menyaksikan enam pemain mengalami kecederaan bakal membuka peluang buat pemain lain mencuri tempat dalam kesebelasan pasukan.

Jelasnya, beliau akan menguji kombinasi pemain dan bagaimana pemain dapat mengadaptasi sistem dan corak permainan yang diterapkan pada aksi pemanas badan dengan Sri Lanka itu.

Menurutnya, beberapa kelemahan pasukan itu yang dikesan ketika dua aksi ketika menang 3-2 ke atas Indonesia dan tumbang 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) perlu segera diperbaiki khususnya di barisan pertahanan.

“Kita nak dapatkan keputusan yang baik (menentang Sri Lanka) dan pada masa masa kita nak dapatkan semula momentum permainan seperti yang semua tahu kita bermain baik dalam dua aksi sebelum ini. Sudah tentu dengan kecederaan beberapa pemain kita kena bagi peluang kepada pemain baharu.

“Setiap pemain akan diberi peluang dan dalam perancangan kami, barisan jurulatih pun akan beri peluang (pemain baharu dan simpanan),” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau tidak mahu pemain beraksi dalam tekanan sebaliknya turun dengan keazaman tinggi untuk menyarung jersi pasukan.

“Tapi, apa yang penting, saya selalu bagi tahu sesiapa yang datang bersama pasukan, saya tak mahu pemain itu rasa tertekan apabila diturunkan dalam kesebelasan utama atau pemain simpanan.

“Saya nak setiap kali datang dengan suasana yang ingin menabur bakti kepada skuad kebangsaan kerana ini adalah pasukan Malaysia yang kita rasa bangga,” katanya.

Terdahulu, kem negara menerima tamparan hebat pada hari pertama latihan pasukan apabila lima pemain disahkan mengalami kecederaan dan kelmarin penyerang Perak, Shahrel Fikri Fauzi muncul pemain keenam yang mengalami kecederaan.

Lima pemain lain ialah Shahrul Saad, Brendan Gan dan J Partiban dari Perak manakala jeneral tengah Pahang, Nor Azam Azih dan pemain Felda United, Daniel Amir melengkapkan senarai kecederaan itu yang dialami mereka ketika membantu kelab masing-masing dalam kempen Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 5:40 AM