FARAH berkebolehan melentikkan jari akibat sindrom marfan. FOTO Twitter
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my

MELENTIKKAN jari dengan fleksibel antara keistimewaan dimiliki Farah Hazwani Jumadi, 24, hingga menjadikannya unik berbanding individu lain.

Menurut Farah, kebolehan melentikkan jari terjadi sejak lahir lagi tetapi hanya disedarinya ketika berusia tujuh tahun.

Bagaimanapun, anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dia tidak menganggap kelainan pada jarinya itu sebagai satu kekurangan sebaliknya kelebihan kurniaan Allah SWT.

“Saya menyedari kelainan yang ada pada jari saya ketika di sekolah rendah dan mulanya memang pelik kerana jari saya lebih panjang daripada orang lain serta boleh dilentikkan ke belakang dengan mudah.

“Saya tidak pasti apa puncanya tetapi tidak malu sebaliknya menganggap ia sebagai salah satu kelebihan kerana tidak semua orang boleh melakukannya.

“Sehingga kini, saya tidak pernah menerima ejekan atau gelaran tertentu disebabkan kelainan itu sebaliknya rata-rata rakan hanya meminta saya melentikkan jari dengan bentuk tertentu ketika mengambil gambar bersama mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


FARAH menunjukkan isyarat tangan yang berbeza dengan rakan dengan simbol ‘hati’. FOTO Twitter

Farah berkata, banyak maklum balas diterima selepas gambarnya tular di laman sosial baru-baru ini dan dia sendiri terkejut kerana tidak pernah menerima respons sebegitu rupa.

“Berdasarkan komen yang sempat saya baca, rata-rata warganet hairan dengan kebolehan saya melentikkan jari seperti di dalam gambar berkenaan mungkin kerana tidak pernah melihatnya sebelum ini.

“Ada juga yang mengatakan tangan saya seperti (tangan) ‘alien’ (makhluk asing) tetapi saya tidak ambil hati kerana menganggap ia sekadar gurauan daripada mereka (warganet)," katanya. 

Kisah Farah mendapat perhatian warganet selepas seorang daripada rakannya memuat naik gambarnya melentikkan jari dengan bentuk hati.

Sehingga kini, perkongsian gambar yang dimuat naik di Twitter itu mendapat 15,900 tanda suka dan 38,900 ulang ciap oleh warganet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 8:09 PM