TAN Cheng Hoe (dua dari kiri) memantau latihan pemain skuad bola sepak Malaysia.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Menjelang dua aksi antarabangsa berdepan Sri Lanka dan Vietnam, skuad Harimau Malaya bagai dilanda tsunami apabila penyerang Perak, Shahrel Fikri Fauzi menjadi pemain keenam yang disahkan cedera.

Situasi kritikal itu sudah tentu mengganggu tidur malam Tan Cheng Hoe yang terpaksa memerah idea terbaik terutama untuk menentang Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Hanoi, pada 10 Oktober ini.

Justeru, aksi persahabatan antarabangsa berstatus A dengan Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok bakal dijadikan medan ujian buat Cheng Hoe mencongak strategi paling ampuh sebelum terbang ke Hanoi.

“Pagi semalam (kelmarin) Shahrel Fikri menjadi pemain terbaru yang cedera. Sekali lagi kita kena pantau tahap kecederaannya sama ada boleh diturunkan menentang Sri Lanka atau sebaliknya,” katanya pada sesi latihan pasukan, semalam.

Jelasnya lagi, beliau mungkin menurunkan skuad kedua untuk aksi pemanas badan itu bagi menguji pemain yang jarang diturunkan khususnya pada dua aksi kelayakan Piala Dunia ketika menang 3-2 dengan Indonesia dan tewas 1-2 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini.

“Kemungkinan besar (turunkan pemain simpanan). Sebagai jurulatih, kita kena beri peluang kepada setiap pemain yang bersama pasukan kebangsaan. Saya rasa pemain-pemain sudah tahu corak permainan pasukan dan dalam masa sama saya selalu ingatkan mereka supaya jangan tertekan walaupun jarang diturunkan,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro, Selasa lalu, kem negara menerima tamparan hebat pada hari pertama latihan pasukan apabila lima tonggak utama disahkan cedera.

Pemain berkenaan adalah tiga tonggak Perak iaitu Shahrul Saad, Brendan Gan dan J Partiban manakala jeneral tengah Pahang, Nor Azam Azih dan pemain Felda United, Daniel Amir melengkapkan senarai kecederaan ketika membantu kelab masing-masing dalam kempen Piala Malaysia.

Sementara itu, pengendali dari Kedah itu juga mahu barisan pertahanan memperbaiki segera kelemahan dan percaya kehadiran pemain berpengalaman Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Radzak mampu mengukuhkan posisi itu.

“Dalam masa sama pertahanan juga kena perbaiki persembahan kerana tiga perlawanan yang lalu kita bolos agak besar. Tiap-tiap kali kita kena meningkatkan lagi prestasi pemain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 5:40 AM