Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


BAYI menghidap kanser otak tahap empat dan kanser buah pinggang, Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham meninggal dunia di Unit Dependensi Tinggi (HDU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, hari ini.

Bayi berusia empat bulan itu menghembuskan nafas terakhir pada 4.30 petang di sisi kedua ibu bapa dan ahli keluarga.

Ibu bayi berkenaan, Khairiah Kamarudin, 35, ketika dihubungi berkata, dia dan suami, Mohd Farham Che Ahmad, 36, reda dengan pemergian anak bongsu daripada lima beradik itu.

Katanya, anaknya tenat sejak semalam apabila tidak mampu membuka mata dan tidak memberi tindak balas.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan Nishka dan mereka yang sentiasa memberi sokongan kepada saya serta suami.

“Walaupun sedih, namun saya dan suami reda dengan pemergian anak kerana dia terlalu kecil untuk menanggung derita,” katanya.

Menurutnya, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Marak, dekat Bachok, malam ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Nishka disahkan menghidap kanser otak (Medullablastoma) tahap empat selepas 21 hari dilahirkan dan turut dikesan menghidap penyakit kanser buah pinggang bulan lalu.

Berita berkaitan

'Nishka kritikal'

'Alhamdulillah...Nishka semakin baik'

'Teruskanlah berdoa buat Nishka' [METROTV]

Ya Allah, sembuhkan Nishka [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 6:05 PM
NISHKA mengembuskan nafas terakhir di HUSM, Kubang Kerian, hari ini. FOTO ihsan keluarga.