Nur Lela ZulkipliZuliaty Zulkiffli
nurlela@hmetro.com.my


FENOMENA air pasang besar berukuran 5.7 meter pagi semalam di beberapa daerah di Selangor berlaku dalam terkawal walaupun ada limpahan.

Unit Pengurusan Bencana Selangor dalam kenyataannya berkata, berdasarkan pemantauan pada jam 9 pagi semalam di Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang didapati berlaku limpahan kecil.

Kawasan terbabit adalah di Jalan raya di Istana Pantai Bahagia di Kuala Langat dan di Jeti Jeram, Kuala selepas air pasang besar pada 7 pagi namun tidak membabitkan kawasan penempatan.

Sementara pemantauan di Klang pula mendapati lima lokasi berlaku kebocoran ban di Kampung Tok Muda, Kapar namun juga tidak membabitkan kawasan penempatan.

“Terdapat limpahan air melepasi ban atau benteng di Kampung Baru, Telok Gong juga tidak membabitkan kawasan penempatan.

“Pada masa sama, tiada limpahan air melepasi ban atau benteng di daerah lain di Selangor dengan binaan di pesisir pantai itu kukuh dan dalam keadaan baik,” katanya.

Pemantauan unit itu di darat dan udara di Jeti Pengkalan Sungai Udang di Klang juga mendapati ban sepanjang 81 meter mendap ketika fenomena air pasang pagi semalam.

Difahamkan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melakukan penambahbaikan dengan meninggikan ban yang mendap itu.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, air pasang yang melepasi ban yang mendap itu bagaimanapun tidak memasuki kawasan penempatan berhampiran berikutan ia melimpah ke dalam parit di sebelah ban berkenaan.

“Pemantauan di sekitar ban Kampung Tok Muda yang dilakukan bersama wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mendapati terdapat lima kawasan lokasi ban bocor.

“Wakil MPKK membuat aduan serta makluman terus kepada pihak JPS. Air pasang pada jam 7 pagi itu mula surut pada jam 7.40 pagi semalam,” katanya.

Air pasang besar pada paras 5.7 meter dijangka berlaku lagi pada 7.36 pagi ini dan turun ke 5.5 meter pada pagi esok.


AIR yang melepasi ban mendap di Jeti Pengkalan Sungai Udang di Klang berikutan fenomena air pasang.

FERI yang menuju ke Pulau Langkawi dari Terminal Jeti Kuala Perlis pagi tadi bergerak perlahan berikutan fenomena paras air yang cetek antara 0.6 ke satu meter. FOTO IHSAN PEMBACA

AIR SURUT GANGGU OPERASI SYARIKAT FERI

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Syarikat Ferry Line Ventures Sdn Bhd membatalkan empat jadual operasi dan menunda enam perjalanan feri yang menghubungkan Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah, semalam berikutan paras air laut cetek.

Pengurus Sumber Manusia & Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, fenomena air laut surut di bawah satu meter boleh membahayakan keselamatan penumpang dan feri.

Beliau berkata, waktu perjalanan yang dibatalkan bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis adalah jam 8 pagi semalam berikutan air cetek sehingga 0.4 meter.

“Bagi perjalanan jam 7.30 pagi tadi (semalam) ditunda ke jam 8.30 pagi berikutan air cetek sehingga 0.6 meter.

“Waktu perjalanan untuk jam 7 malam juga ditunda ke jam 9 malam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Baharin berkata, bagi laluan Kuala Perlis ke Langkawi pula, jadual perjalanan jam 8.30 pagi ditunda ke jam 9.30 pagi berikutan air cetek 0.6 meter, manakala perjalanan jam 10 pagi dibatalkan.

Beliau berkata, waktu perjalanan jam 7 malam turut ditunda ke jam 9.30 malam berikutan paras air dijangka 0.6 meter.

“Bagi laluan perjalanan Langkawi ke Kuala Kedah pula, waktu perjalanan jam 7.30 pagi ditunda ke jam 8 pagi manakala perjalanan jam 6 petang dibatalkan.

“Perjalanan jam 7 malam juga ditunda ke jam 9 malam,” katanya.

Bahrin berkata, bagi perjalanan hari ini, pembatalan hanya membabitkan laluan Kuala Kedah ke Langkawi dan Kuala Perlis ke Langkawi pada jam 8.30 pagi.

Katanya, jadual perjalanan selepas itu akan berjalan seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 6:40 AM
Skip this ad x