Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


KETIKA perlawanan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam hanya berbaki 10 hari, pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe sudah diuji apabila lima pemainnya mengalami kecederaan.

Malah, perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka pada Sabtu ini mungkin tidak akan dibarisi Nor Azam Azih, Daniel Amir, J Partiban, Abdul Halim Saari dan Shahrul Saad.

Mereka mengalami kecederaan ketika mewakili pasukan masing-masing dalam saingan Piala Malaysia.

Cheng Hoe berkata, kecederaan yang melanda lima pemain itu menjejaskan persiapan pasukan menjelang aksi menentang Sri Lanka dan Vietnam kelak.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa menggunakan plan B iaitu memanggil beberapa pemain lain antaranya Mohd Azizan Nordin yang kini beraksi bersama Sabah untuk memperkuatkan lagi barisan Harimau Malaya jika ada antara mereka tidak sempat pulih sebelum perlawanan penting itu.

“Semua 25 pemain sudah melaporkan diri dan lima pemain mengalami kecederaan sekali gus mengambil masa sekurang-kurangnya empat hari untuk pulih.

“Seperti sedia maklum, Vietnam sudah membuat persiapan awal dengan membariskan pemain terbaik untuk menerima kunjungan Malaysia nanti dan sudah tentu kita juga perlu berbuat demikian.

“Azam sememangnya mengalami kecederaan buku lali dan kita mengharapkan dia berada dalam pasukan kerana persembahan mantapnya sebelum ini ketika menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE),” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Harimau Malaya, di padang Majlis Sukan Negara, di sini, semalam.

Dalam dua perlawanan awal, skuad negara mengejutkan Indonesia 3-2 di Gelora Bung Karno sebelum tewas tipis 1-2 kepada UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Thailand kini mengungguli Kumpulan G dengan empat mata, diikuti UAE, Malaysia, Vietnam dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 6:30 AM
SKUAD kebangsaan menjalani latihan di padang Majlis Sukan Negara, semalam.