ZUL bukan cerewet, sebaliknya cari gandingan yang tidak mudah terbuai arus populariti.
Oleh Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


LEBIH sedekad menjual bakat dalam bidang lakonan, Zul Ariffin mengakui dia kini perlu memilih dan mengenal pasti pelakon wanita yang sesuai untuk digandingkannya.

Bukan cerewet atau ‘demand’, sebaliknya pelakon kacak itu mencari heroin yang dahagakan peluang untuk bergelar pelakon serta tidak mudah terbuai dengan arus populariti.

Zul berkata, dia juga lebih selesa bekerjasama dengan pendatang baru yang menantikan peluang keemasan ini.

“Saya juga akan mengelak untuk bekerjasama dengan pelakon yang sudah mempunyai pengaruh kuat atas beberapa sebab. Saya lebih suka untuk bekerjasama dengan pelakon baru yang inginkan pendedahan dan peluang untuk bersinar. Saya tiada masalah untuk mengajar dan berkongsi ilmu asalkan dia tidak lupa diri,” katanya.

Menurut pemenang Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-26 ini, dia selalu berpesan kepada pelakon baru baik lelaki atau wanita untuk merencana kerjaya seni dengan baik selepas diberi peluang untuk berlakon dalam slot drama popular.

Zul berkata, sebaik wajah menghiasi kaca televisyen dan disimbah cahaya populariti, perlahan-lahan privasi mula diterjah dan apa strategi yang sudah disusun selepas naskhah itu berakhir.

“Jangan mudah terbuai dengan populariti. Mungkin satu drama yang dibintangi mampu mengubah kehidupan seseorang itu secara keseluruhan namun apakah langkah anda apabila drama itu tamat?

“Peminat akan ada ketika nama ada sedang melonjak, namun jika anda sudah tiada projek adakah mereka masih setia?

“Bagi yang bergelut mencari peluang untuk membantu keluarga seperti saya, anda perlu punya perancangan rapi untuk memastikan kerjaya terus berjalan dan disusun rapi,” katanya.

Tak semestinya mahu aksi saja

Sejak kebelakangan ini Zul sering menerima tawaran berlakon filem bergenre aksi. Ditanya adakah dia sengaja menetapkan cara sedemikian untuk kerjayanya dalam filem, Zul memberitahu dia masih menanti tawaran watak yang pelbagai namun belum ada rezeki.

“Kalau itu saja tawaran yang sampai saya boleh buat apa. Bagi saya filem apapun, kalau kena dengan watak dan jalan cerita saya tidak kisah untuk bawakan dengan sehabis baik.

“Saya pernah berlakon filem Hantu Kak Limah dan Penanggal yang jauh dengan genre aksi, tapi tidak banyak tawaran sedemikian diterima.

“Saya tiada masalah untuk bawakan asalkan setiap naskhah itu menarik dan akan memberi impak kepada penonton. Saya tak nak bawa watak yang sekadar berlayar seperti iklan dan tiada siapa yang peduli.

“Di usia sekarang ini saya bukan berlumba nak hasilkan drama atau filem, tapi saya mahu sesuatu itu ada impak yang baik kepada diri saya sebagai pelakon,” katanya.


SERING terima tawaran berlakon filem aksi.

Perlu ke Indonesia?

Sengaja mengajak Zul berbicara mengenai peluang mencuba nasib di Indonesia, jejaka berusia 32 tahun itu berkata, bukan tidak mahu, tapi ia tidak semudah yang disangka.

Menurut Zul, sesebuah naskhah atau individu dari Indonesia begitu mudah untuk menembusi pasaran Malaysia namun tidak bagi pelakon tanah air untuk mengintai peluang di sana.

“Saya tahu apa yang saya akan katakan ini akan memberi persepsi yang mungkin tidak disukai sesetengah pihak, namun saya perlu luahkan yang mana tiada kesamarataan untuk penggiat seni mencuba nasib di sana.

“Mereka boleh tembusi pasaran Malaysia kerana kita membuka peluang dari segi pelakon atau filem yang ingin diperkenalkan, tetapi kita tidak dapat mana-mana peluang untuk mereka terima di sana.

“Tidak mudah untuk saya ke sana. Malah, saya juga sering bertanya adalah berbaloi saya mencuba nasib di sana.

“Jadi biar saya terus menghiburkan penonton di Malaysia dan melakukan setiap naskhah yang diberikan dengan sehabis baik,” katanya.

Tak sanggup kahwin sesama artis

Masih memegang prinsip sama, Zul tidak akan mendedahkan identiti bakal isterinya yang bakal dinikahi tahun depan.

Namun, apa yang pasti, pujaan hatinya bukan beragama Islam dan berketurunan Melayu. Seakan dapat meneka, namun Zul tetap enggan mengumumkannya.

Sebaliknya Zul hanya memberikan bayangan, gadis yang bertakhta di hatinya bukan selebriti.

“Ya, pilihan saya bukan selebriti. Saya tidak akan berkahwin dengan selebriti.

“Bukan serik, tetapi saya lihat selebriti sukar mengawal diri. Pilihan saya bukan gadis biasa, tetapi berbeza latar belakang profesion dan tiada kena mengena dengan dunia selebriti.

“Saya anggap pilih selebriti umpama menghunus pedang di tengkuk sendiri. Apabila popular dan menjadi tumpuan ramai, penghujungnya tidak mampu mengawal diri serta berubah watak. Keadaan ini sangat berbahaya untuk pasangan suami isteri,” katanya yang akan berkongsi gerangan bakal isteri apabila tiba masanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 5:40 AM