Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


PERASAAN sebak dan gementar sebelum melafazkan akad nikah hilang serta bertukar menjadi insiden melucukan buat Muhammad Iqbal Harun selepas melihat bapa mentua, Ahmad Laiman, 61, tersasul menyebut namanya ketika majlis diadakan di Masjid Darul Hana, Kota Samarahan, Sarawak Ahad lalu.

Detik mencuit hati sempat dirakam menerusi telefon bimbit itu dikongsikan Muhammad Iqbal menerusi Twitter miliknya pada Isnin lalu dan meraih 178,700 tontonan, 10,900 tanda suka dan 9,300 ulang ciap sehingga kini.

Menerusi video berdurasi 14 saat itu, Muhammad Iqbal dan tetamu dilihat ketawa selepas Ahmad yang menjadi wali akad nikah menyebut namanya secara terbalik.

“Perasaan sebelum majlis akad nikah bercampur baur iaitu sedih dan sebak, malah isteri ada berpesan supaya mengawal perasaan kerana tahu saya seorang yang mudah tersentuh.

“Namun, rasa gementar itu hilang selepas bapa mentua tersasul dengan menyebut nama ayah berbinkan saya hingga menyebabkan saya dan tetamu lain ketawa.

“Kejadian itu mungkin kerana dia (bapa mentua) turut gementar, tetapi saya menganggapnya sebagai penyelamat kerana tanpa insiden berkenaan, pastinya saya menangis disebabkan tidak dapat menahan sebak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


MUHAMMAD Iqbal dan Ain Suhada disatukan sebagai suami isteri pada 22 September lalu.

Muhammad Iqbal berkata, dia dan isteri, Ain Suhada, 24, menganggap kejadian itu sebagai kenangan manis yang tidak dapat mereka lupakan sampai bila-bila.

Malah, dia bersyukur kerana majlis akad nikah itu berjalan lancar walaupun diadakan secara ringkas dan sederhana dengan hanya dihadiri tetamu dalam kalangan saudara mara serta rakan terdekat.

“Niat saya memuat naik video berkenaan hanyalah untuk berkongsi detik mencuit hati itu dengan pengikut di Twitter, tetapi lain pula jadinya apabila tular di laman sosial.

“Berdasarkan maklum balas diterima, rata-rata warganet terhibur dengan video berkenaan dan terima kasih kepada yang mengucapkan tahniah serta mendoakan kebahagiaan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 9:18 PM
MUHAMMAD Iqbal dan tetamu ketawa selepas Ahmad (berbaju hijau) tersasul menyebut namanya pada majlis akad nikah di Masjid Darul Hana, Kota Samarahan, Ahad lalu.