GELAGAT Qurrata Akyun memakai plastik berikutan ketiadaan lampin pakai buang ketika itu.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


NIAT suami isteri, Lans Koperal Sapiee Hasumbni dan Zainor Haneza Zainordin memakaikan plastik kepada anak bongsu mereka, Qurrata Akyun berusia lima bulan hanyalah untuk bergurau, tetapi lain jadinya apabila disalah erti segelintir warganet.

Salah faham itu timbul selepas mereka memuat naik gambar berkenaan di laman sosial.

Menurut Sapiee, 32, dia terkejut dengan maklum balas warganet dan mulanya tidak tahu gambar berkenaan tular di media sosial sehingga diberitahu rakannya, hari ini.

Menceritakan kisah sebenar, Sapiee berkata, gambar itu diambil pada Selasa lalu selepas dia dan isteri pulang ke rumah dari rumah inap mereka di Banda Hilir, Melaka.

Katanya, isterinya memuatnaik gambar itu ke Facebook pada malam hari sama untuk berkongsi dengan pengikut di platform berkenaan.


SAPIEE dan Zainor Haneza bersama anak mereka.

“Sebelum pulang ke rumah, saya dan isteri bersama anak singgah di rumah inap kami bagi melihat perkembangannya yang sedang dalam pembinaan.

“Tiba-tiba, kami terhidu bau najis (najis anak) dan memandangkan tiada lebihan lampin pakai buang, datang idea untuk menggunting plastik seperti bentuk baju tanpa lengan dan memakainya pada badan Qurrata.

“Plastik itu dipakaikan di bahagian luar baju untuk mengelak najis pada lampin pakai buang itu bocor hingga terkena pada tempat duduk kenderaan.

“Setibanya di rumah, kami mengambil gambarnya (Qurrata) kerana merasakan dia comel berpakaian seperti itu, tetapi ada salah faham hingga menegur isteri saya dengan menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sapiee berkata, ada segelintir warganet menuduhnya dan isteri tidak tahu menjaga anak hanya kerana bertindak sebegitu.

Katanya, dia dan isteri tidak berkecil hati kerana lebih banyak komen positif daripada kecaman diterima.

“Saya tidak meneliti satu persatu komen ditinggalkan warganet pada gambar tular di laman sosial itu, tetapi berdasarkan pemerhatian secara rawak, majoritinya memberi maklum balas positif.

“Hanya beberapa komen saja negatif tetapi saya pesan pada isteri supaya tidak mengambil serius, berkecil hati atau membalas dengan kata-kata tidak baik.

“Lucu sebenarnya dan saya ketawa setiap kali melihat perkongsian gambar itu di laman sosial kerana tidak sangka impaknya sebegini rupa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 9:27 PM