Mayat bayi masih bertali pusat ditemui dalam mangkuk tandas di Terminal Sentral Kuantan. FOTO ihsan pembaca
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


AIR bercampur darah yang melimpah dari mangkuk tandas di Terminal Sentral Kuantan, Kuantan membawa kepada penemuan mayat bayi lelaki masih bertali pusat, hari ini.

Kejadian itu disedari jam 9.50 pagi oleh kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang kebetulan masuk ke dalam tandas yang terletak di tingkat satu terminal berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, tandas berkenaan sedang diselenggarakan dan ditutup untuk orang awam.

Katanya, kakitangan wanita itu melihat salah satu mangkuk tandas dalam keadaan bertutup sebelum dia bertindak mengepam tandas berkenaan.

“Wanita berkenaan terkejut melihat air bercampur darah keluar dari tandas berkenaan sebelum memanggil tukang cuci untuk membuat pemeriksaan kerana menyangka ianya tersumbat.

“Mereka menggunakan dawai untuk mengeluarkan objek yang tersumbat itu namun sebaik ditarik, uri berserta tali pusat terkeluar,” katanya, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang wanita dalam keadaan mencurigakan dengan memakai baju hitam membawa sebuah bagasi memasuki tandas itu pada jam 5.58 pagi.

“Wanita itu dilihat berada di dalam tandas itu selama setengah jam sebelum keluar dengan memakai baju kurung.

“Kita masih mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terutamanya pemandu teksi yang menumpangkan wanita dalam keadaan mencurigakan pada awal pagi supaya memaklumkan kepada polis,” katanya.

Mayat bayi yang dianggarkan lahir tidak cukup bulan itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 4:16 PM