SEORANG lelaki memakai penutup muka ketika beriadah di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh dalam keadaan jerebu yang mencatatkan IPU tidak sihat, semalam.
Meor Riduwan Meor Ahmad dan Firdaus Hashim
sukan@hmetro.com.my


TIMBUL persoalan apabila saingan Piala Malaysia tetap diteruskan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika negara dilanda jerebu kuat sejak beberapa minggu lalu.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa mempersoalkan sejauh mana keprihatian pihak terbabit berhubung kesan jerebu terhadap kesihatan pemain.

Menurutnya, dari aspek sains sukan, jerebu keadaan tidak baik buat ahli sukan beraksi bagi sukan berbentuk kompetitif kerana ia boleh mengganggu sistem kardiovaskular atau jantung.

“Kita tidak tahu apa kesan dalam jangka panjang kepada jantung. Dalam jangka pendek pendedahan kepada jerebu menyebabkan kita mengalami gatal hidung, masalah sistem pernafasan.

“Jika ada asma boleh menyebabkan sesak nafas. Justeru saya berpendapat pemain tidak boleh beraksi dalam sukan bersifat kompetitif ketika jerebu. Takkan nak bermain dengan memakai penutup mulut dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu katanya, FAM dan MFL perlu realistik, adakah hendak mengejar masa atau perlu menangguhkan perlawanan Piala Malaysia susulan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan pemain.

Katanya, biarpun difahamkan tiada aduan diterima berhubung kesan jerebu kepada pemain, pihak terbabit perlu proaktif.


Mohd Sadek Mustaffa

“Contohnya pemain PJ City yang diserang Influenza B yang turut mempunyai kaitan dengan persekitaran tidak sihat.

“Memang pada masa sekarang tidak nampak kesihatan pemain terganggu. Mereka tidak menyedut oksigen, sebaliknya karbon yang berbentuk zarah terampai dan tidak nampak.

“Sedangkan sekolah di beberapa negeri turut ditutup, apakah hendak tunggu hingga ada pemain diserang penyakit?” katanya.

Sementara itu, pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria memaklumkan FAM dan MFL menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada pesuruhjaya perlawanan untuk membatalkan aksi sekiranya jerebu dilihat semakin berbahaya.

“Memang tak selesa main dalam jerebu dan pemain saya pun terpaksa banyak minum air untuk hilangkan kesakitan tekak masa perlawanan peringkat Kumpulan B Piala Malaysia sebelum ini.

“Apa yang saya dimaklumkan, pesuruhjaya perlawanan diberi mandat sepenuhnya untuk membatalkan aksi. Jadi kami hanya ikut arahan beliau.

“Tapi sebaiknya kesihatan pemain juga mesti dijaga kerana masalah jerebu sekarang ini sangat merbahaya,” kata Ismail.

Bacaan indeks pencemaran udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 6:45 AM