MIRA Filzah pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 32. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Rudy Imran Shamsudin

PELAKON dan dramatis popular Mira Filzah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 32 (ABPBH 32) yang berlangsung malam tadi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kemenangan sudah dijangka awal apabila dia mengungguli beberapa kategori utama yang dicalonkan peminatnya seperti Pelakon Filem Wanita Popular dan Pelakon Drama Wanita Popular.

Mira Filzah menewaskan pesaing terdekatnya iaitu Siti Nordiana yang turut menerima pencalonan paling banyak dalam kategori utama.

Bagaimanapun, tidak mengecewakan apabila Siti Nordiana mengungguli dan memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular dan Pengacara TV Popular.

ABPBH 32 dihoskan oleh AC Mizal dan Elly Mazlein serta disiarkan secara langsung oleh TV3 juga memperlihatkan penguasaan Khai Bahar dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Fattah Amin mengejutkan pesaingnya seperti Remy Ishak dan Zul Ariffin apabila diumumkan pemenang bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular.

Anugerah ABPBH 32 diserikan lagi dengan persembahan bertenaga Ismail Izzani yang berduet dengan Zizan Razak, Sufian Suhaimi, Idayu, Liza Hanim, Ernie Zakrie dan ramai lagi.

Berikut senarai pemenang bagi 15 kategori utama ABPBH 32 dan Anugerah Khas:

  • Pelakon Filem Lelaki Popular: Fattah Amin
  • Pelakon Filem Wanita Popular: Mira Filzah
  • Pelakon TV Lelaki Popular: Syafiq Kyle
  • Pelakon TV Wanita Popular: Mira Filzah
  • Penyanyi Lelaki Popular: Khai Bahar
  • Penyanyi Wanita Popular: Siti Nordiana
  • Pengacara TV Popular: Siti Nordiana
  • Penyampai Radio Popular: DJ Lin
  • Artis Komedi Popular: Zizan Razak
  • Artis Versatil Popular: Janna Nick
  • Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular: Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini
  • Artis Baru Lelaki Popular: Adam Lee
  • Artis Baru Wanita Popular: Haneesya Hanee
  • Anugerah Khas Pencapaian Sepanjang Hayat: Raihan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 12:26 AM