MOHAMMAD Ruhaidi yang juga jurutera struktur, pakar rekabentuk dan pengurus kanan teknikal di BMW Motorsport di Munich, Jerman bergambar dengan kereta touring keluaran BMW. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my

SEKUMPULAN 50 jurutera negara ini membuat Malaysia bangga apabila mencipta nama dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan teknikal tahap tinggi di Jerman.

Biarpun hanya komuniti kecil, kumpulan jurutera berkenaan yang majoritinya berbangsa Melayu dianggap mempunyai sumbangan besar melalui kepakaran mereka dalam bidang kejuruteraan seperti automotif, mekatronik, aeronatik, perisian dan gas industri.Malah, mereka bukan setakat mahu mengukir nama di bumi Deutschland itu, sebaliknya mahu pergi lebih jauh lagi apabila berhasrat memindahkan ilmu dan teknologi ke Malaysia bagi kegunaan rakyat tempatan, sekali gus menjadi tulang belakang dalam memperkasakan pembangunan negara pada masa depan.Perintis pertubuhan Komuniti Jurutera Malaysia di Jerman (MEC-Jerman), Mohammad Ruhaidi Abdul Rashid, 45, berkata, ahli kumpulan itu bersetuju untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran masing-masing bagi membantu memperkukuhkan negara.“Kumpulan komuniti ini baru saja ditubuhkan 23 Jun lalu. Visi dan misi kami antaranya berkongsi kemahiran, teknologi dan pengetahuan yang diperoleh sebagai perintis untuk melonjakkan bidang kejuruteraan Malaysia.“Selama ini, kemampuan jurutera rakyat Malaysia memang tidak dipertikaikan malah diiktiraf syarikat gergasi Jerman.“Jadi, kami boleh menggunakan kepakaran sedia ada itu supaya selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang rancak diusahakan serata dunia termasuk Malaysia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.Beliau yang bekerja dalam bidang kejuruteraan sukan permotoran khususnya rekabentuk dan analisis struktur di BMW Motorsport Munich itu menjelaskan Malaysia perlu bersaing dalam perlumbaan industri dunia yang berkembang pantas.Menurutnya, MEC-Jerman berhasrat menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi pendidikan tinggi terpilih di Malaysia bagi memastikan hasil gerak kerja dan usaha supaya pertubuhan ini dapat dimanfaatkan lebih banyak pihak.“Sebagai permulaan, saya sudah ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Ogos lalu. Dalam pertemuan ringkas dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud, beliau amat mengalu-alukan kerjasama antara MEC-Jerman dan UniKL.“Kerjasama itu dilihat sebagai pendedahan baharu kepada pelajar dan kakitangan UniKL untuk mengetahui perkembangan teknologi terkini dari negara Eropah.“UniKL dipilih berdasarkan pengalaman luas universiti itu dalam pelbagai bidang teknologi kejuruteraan utama seperti automotif, penerbangan, mekanikal dan elektrikal,” katanya yang juga pakar dalam rekabentuk dinamik kereta Formula 1.Menurutnya, mereka masih mengemas kini pangkalan data keahlian MEC-Jerman, termasuk dari jurutera rakyat Malaysia yang sudah kembali bekerja di tanah air dan di negara lain dengan pertemuan pertama secara fizikal dirancang bulan depan.

Pengalaman 13 tahun

Noor Laili Che Li @ Ismail, 34, sudah 13 tahun menetap di Jerman dan kini bekerja sebagai jurutera pengujian dalam bahagian penghasilan dan pembuatan.

Anak kelahiran Kulim, Kedah itu adalah Ketua Bahagian 5S bagi jurutera dan mekanik di syarikat pengeluar semikonduktor, Texas Instruments Deutschland GmbH, Freising.

Dia yang tinggal di Freising, Bavaria bersama suami Mohd Faizal Mohd Nawawi, 34, dan seorang anak lelaki, Iskandar berusia tiga tahun itu berkata, sebelum MEC-Jerman ditubuhkan dia memang gemar berkongsi input dengan rakan profesor di Malaysia untuk diguna pakai dan disesuaikan di tanah air.

Platform pertubuhan komuniti itu, katanya, diharap akan dapat menjalinkan kerjasama lebih luas dengan institusi pendidikan tinggi berasaskan teknologi dan pertubuhan kejuruteraan tempatan seperti Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) serta Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) untuk manfaat negara.


NOOR Laili (dua dari kanan) bergambar dengan rakan sekerjanya. FOTO NSTP

“Usaha ini masih di peringkat cadangan. Namun dengan semangat yang ditunjukkan ahli, kami yakin ia akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

“Tidak rugi kami jurutera perantau di Jerman ini berkongsi ilmu. Setiap ahli mempunyai pengalaman dan kepakaran masing-masing boleh dikongsi termasuk dengan pelajar sekolah dan mahasiswa universiti Malaysia.

“Ia sekali gus dapat menarik minat mereka ke arah kejuruteraan, seterusnya melahirkan ramai lagi jurutera Malaysia bertaraf dunia,” katanya.

Selain perkongsian teknikal, katanya, dia juga bersedia berkongsi pengalaman hidup sebagai perantau yang boleh dijadikan panduan generasi muda negara.

“Walau di mana jua kita berada, setinggi mana kita terbang, sejauh mana kita pergi, sentiasalah berpijak di bumi yang nyata, tunduk pada Yang Maha Kuasa.

“Sepanjang saya bekerja di negara maju ini, saya tidak mempunyai masalah untuk solat, memakai tudung dan membaca doa secara terbuka sebelum memulakan pekerjaan saya,” katanya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dan Telekomunikasi dari Universiti Sains Gunaan Rosenheim.

Potensi besar intralogistik

“Malam perlawanan akhir Piala Dunia antara Itali dan Perancis, Jun 2006. Ketika itulah saya dan rakan-rakan dari German-Malaysian Institute (GMI) dalam penerbangan ke Frankfurt, Jerman buat kali pertama.

“Di bawah tajaan Mara (Majlis Amanah Rakyat), saya mendapat tawaran pengajian di Universiti Sains Gunaan Regensburg dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal dan Teknologi Maklumat,” kata Wan Sulaiman.

Wan Muhamad Fahmi, 34, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, selepas tamat pengajian pada 2011, dia mencuba nasib mencari pekerjaan pertama di Jerman.

Katanya, berdasarkan minat yang lebih ke arah teknologi maklumat, dia menerima tawaran sebagai jurutera perisian di sebuah syarikat Jerman yang menyediakan solusi teknologi maklumat sistem pengurusan gudang (WMS) dan automasi dalam bidang intralogistik.

“Sudut teknikal, bidang intralogistik amatlah asing bagi saya. Namun semakin mendalami bidang ini, saya dapati ia sangat menarik kerana boleh dikatakan semua syarikat yang mengeluarkan produk ataupun pengedar memerlukan gudang untuk menyimpan sumber dan produk mereka.

“Melalui WMS, syarikat dapat mengoptimumkan operasi mereka melalui sistem berkomputer tersusun dan kecekapan sistem automasi, sekali gus mengurangkan kos dalam jangka panjang,” katanya.

Wan Muhamad Fahmi berkata, antara projek yang dia pernah kendalikan adalah untuk Swarovski, Jack Wolfskin dan H&M.

“Dipendekkan cerita, sekarang sudah masuk tahun kelapan saya dalam pekerjaan dan bidang ini.

“Sejak enam minggu lalu saya berpindah majikan ke DEMATIC, satu daripada pemain global dalam bidang intralogistik khususnya WMS.

“Saya melihat banyak potensi untuk WMS ini diaplikasikan di tanah air memandangkan pasaran masih belum meluas diterokai syarikat tempatan,” katanya.


WAN Muhamad Fahm. FOTO NSTP

Menurutnya, ia bukan soal kos sebaliknya peluang kepada syarikat di Malaysia untuk menaik taraf sistem pengurusan sumber mereka tatkala dunia sekarang berada dalam Revolusi Industri 4.0 dan e-dagang semakin menjadi trend.

Katanya, apa yang boleh dirumuskan cara jurutera Jerman bekerja adalah mereka ada jawapan bagi setiap permasalahan, sistem yang teratur dalam merealisasikan jawapan itu dan memastikan hasilnya efisyen.

“Kerja santai tetapi serius. Semuanya berasaskan kepercayaan. Asalkan kerja siap menjelang dateline, terserah kepada individu soal pengurusan masa.

“Sekali pun berdepan kesulitan, yang penting komunikasi berterusan dengan pihak atasan supaya semuanya dapat diselesaikan dari awal,” katanya.

Menurutnya, dari segi sosial pula, istilah work-life-balance atau kerja dan kehidupan seharian adalah satu kemestian dan seimbang.

Katanya, pengalaman dan ilmu yang diperoleh sejak bekerja di negara itu dari segi teknikal mahupun sosial, baginya amatlah mantap jika boleh dipraktikkan di tanah air.

“Belajar di Jerman ada payahnya seperti budaya dan bahasanya. Namun jika hati cekal dan jaga agama, insya-Allah berjaya.

“Sekalipun saya mencari rezeki di bumi Jerman, hati saya tetap di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 10:00 AM