ZIKUAN menjalani prosedur mengeluarkan sum sum tulang pada 9 September lalu. FOTO Weibo
Agensi

BEIJING: Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun memberi hadiah paling bermakna untuk ayahnya, iaitu sum sum tulangnya selepas berjaya menaikkan berat badan 18 kilogram untuk layak membuat pembedahan itu.

Anak sulung bernama Lu Zikuan itu satu-satunya dalam keluarganya yang sepadan dengan ayahnya, namun sebelum ini terlalu kurus dengan berat hanya 30 kilogram menyebabkan dia terpaksa menggemukkan badan terlebih dulu, lapor South China Morning Post.

Walaupun keluarganya bukan berada, mereka semua sepakat memastikan dia menjamah nasi dan makanan berlemak serta paling berkhasiat selain makan lima kali sehari sejak Februari lalu sehingga akhirnya mencapai berat diperlukan iaitu 50 kilogram, lapor Asian Tribune.

Menaikkan berat badan secara mendadak bukan mudah, malah Zikuan mengaku ada kala tidak larat makan selain sering sakit perut apabila terlalu kenyang.

Selain itu, badannya yang semakin tembam juga menyebabkan dia dipanggil budak gemuk di sekolah, namun ejekan itu berhenti selepas guru besar menegur rakan yang berbuat demikian.

Dia bagaimanapun tidak berkecil hati dengan gelaran gemuk itu, malah berkata: “Selamatkan ayah dulu, kurus kemudian.”

Bapanya, Lu Yanheng, mempunyai sejenis kanser darah yang menyebabkannya terlantar di rumah mereka di wilayah Henan, lapor Beijing Youth Daily.

Prosedur mengeluarkan sum sum tulang Zikuan dilakukan pada 9 September lalu yang juga hari jadi ayahnya.

Susulan itu, Yanheng berkata, dia terlalu terharu dengan pengorbanan anaknya.

“Saya tidak akan melupakan hari ini. Anak saya memberikan harapan untuk hidup pada hari jadi saya.

“Saya amat berterima kasih kepadanya. Dia mengaku sakit kaki dan belakang susulan prosedur itu. Pengorbanan ini terlalu besar untuk dilakukan seorang budak,” katanya di Weibo.

Kisah keluarga itu turut mendapat simpati orang ramai selepas dilaporkan media tempatan, dengan derma lebih 800,000 yuan (RM471,000) diterima daripada rakyat di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:30 AM