Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


SECARA zahir, Mohamad Anaz Zarif Rifqi, 5, kelihatan normal seperti kanak-kanak seusianya namun anak bongsu daripada empat beradik itu sebenarnya sedang bertarung melawan barah otak.

Segalanya bermula selepas Mohamad Anaz terjatuh basikal pada November 2017 sebelum dikesan mempunyai ketumbuhan pada saraf tunjang sebesar 10 sentimeter hasil pemeriksaan doktor.

Berikutan itu, Mohamad Anaz terpaksa menjalani pembedahan namun doktor tidak dapat membuang semua ketumbuhan yang ada kerana berdepan risiko lumpuh.

Ibunya, Rokiah Mohamad, 37, berkata, antara kesan sampingan yang dapat dilihat pada anaknya selepas pembedahan itu ialah hilang deria rasa dan berjalan dalam keadaan tidak stabil tetapi keadaannya kembali normal sebulan kemudian.


ROKIAH menunjukkan kesan pembedahan di kepala Mohamad Anaz. FOTO Eizairi Shamsudin

“Dia dilahirkan normal dan tidak menunjukkan langsung simptom penyakit dialaminya sehingga terjatuh basikal ketika berumur tiga tahun.

“Selepas dirujuk ke hospital dan menjalani pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI), doktor mengesyorkan pembedahan segera dilakukan memandangkan saiz ketumbuhan yang besar.

“Kesan sampingan ada tetapi tidak serius malah keadaannya juga kembali normal selepas sebulan menjalani pembedahan tetapi simptom penyakit kembali Mac lalu apabila badannya jadi lembik dan tidak dapat berjalan dengan tiba-tiba ketika berada di tadika,” katanya.

Rokiah berkata, Mohamad Anaz kemudian ditahan di wad selama tiga hari dan seminggu kemudian, doktor mengesahkan ketumbuhan yang ada sudah merebak sehingga ke tulang belakang.

Melihat keadaan itu, doktor mengesyorkan pembedahan susulan dijalankan selepas Aidilfitri lalu tetapi dibatalkan selepas ketumbuhan yang ada merebak ke kepala.

“Ketumbuhan itu merebak dalam tempoh yang begitu singkat dan doktor juga tidak dapat menjelaskan puncanya. Doktor mengesyorkan rawatan kemoterapi selama enam bulan dijalankan bermula Oktober depan.

“Susah juga untuk saya dan suami menerima kenyataan itu tetapi kami cuba bersikap positif kerana masih menaruh harapan untuk melihat Mohamad Anaz sembuh.

“Antara ikhtiar yang saya dan suami lakukan ketika ini ialah menjaga pemakanannya dengan memberikannya makanan berasaskan organik selain membawanya mendapatkan rawatan perubatan Islam,” katanya.

Sementara itu, bapa Mohamad Anaz, Rahimi Haron, 44, berkata, dia reda dengan apa yang berlaku dan menganggapnya sebagai ujian daripada Allah.

“Belum ada lagi dalam keluarga kami yang menghidap penyakit ini jadi saya dan isteri banyak mendapatkan nasihat daripada doktor untuk berhadapan dengan situasi ini.

“Buat masa ini, Mohamad Anaz masih aktif dan boleh bermain tetapi saya tidak boleh menjangkakan apa yang akan berlaku di kemudian hari melainkan berikhtiar selagi termampu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 8:12 PM
ROKIAH bersama Mohamad Anaz di kediaman mereka di Taman Jasa Perwira, Gombak. FOTO Eizairi Shamsudin