ZAMANI dan Juliana selamat diijabkabulkan. FOTO Instagram Zime Production
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


DENGAN sekali lafaz, penyanyi Zamani Ibrahim, 48, selamat bergelar suami kepada Nur Juliana Abdul Rani, 36, dalam satu majlis tertutup di Kuala Lumpur malam tadi.

Bagaimanapun, dia meminta maaf kerana tidak menjemput pihak media dan menghebahkannya lebih awal.

“Saya minta maaf kerana majlis ini dibuat secara tertutup dan hanya membabitkan keluarga kedua-dua belah pihak.

“Saya bukan menafikan peranan wartawan terhadap karier saya, tapi ini hanya majlis akad nikah dan kami akan jemput semua pihak pada majlis resepsi yang dirancang nanti,” katanya.

Zamani turut berjanji akan memberi butiran lengkap majlis akad nikah itu beserta gambar kepada Harian Metro pada jam 11 malam, namun sehingga kini dia gagal dihubungi kerana telefonnya dimatikan.

Penyanyi kumpulan Slam itu sudah 14 tahun mengenali dan berkawan dengan Juliana.

Juliana adalah pembantu peribadi Zamani di syarikat ZIME Production milik Zamani dan keluarganya.

Pada 16 Jun lalu, Zamani membuat kejutan pada majlis Ceria Aidilfitri Bersama Zamani yang berlangsung di sebuah lokasi di ibu negara apabila mengumumkan mahu bertunang dengan Juliana.

Mereka juga pernah tampil menyanyi berduet pada majlis bersama peminat di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan selepas itu.

Sementara itu, Juliana menerima sebentuk cincin dan mas kahwin RM300 bersama tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.

Mereka mengambil keputusan mempercepatkan akad nikah kerana bakal menunaikan ibadah umrah bersama tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 11:56 PM