MAKANAN diletakkan di dalam plastik sampah yang disumbangkan kepada pusat tahfiz di Taman Keramat, Kuala Lumpur, 14 September lalu.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“DIA mungkin berniat baik, tetapi caranya tidak betul dan tindakannya itu membuatkan saya kesal,” kata Zakiyatul Nisa Martias, 26.

Zakiyatul memberi reaksi itu berikutan tindakan individu tidak dikenal pasti menyumbang makanan kepada pusat tahfiz di Taman Keramat, Kuala Lumpur, tetapi meletakkan makanan itu dalam plastik sampah.

Kekecewaan itu diluahkan Zakiyatul di ruangan komuniti di Facebook, dua hari lalu hingga mengundang pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya berang dengan tindakan individu terbabit.

Zakiyatul berkata, kejadian berlaku pada 14 September lalu dan dikongsikan salah seorang tenaga pengajar di pusat tahfiz berkenaan menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp.

“Ahad lalu, saya ke pusat tahfiz untuk mengambil anak buah yang berada di situ dan menggunakan kesempatan itu bagi bertanya lebih lanjut dengan ustaz berkenaan mengenai perkara sebenar.

“Menurutnya, dia tidak tahu siapa menghantar makanan berkenaan dan sedar ia berada di atas meja selepas salah seorang pelajar meminta izin untuk memakannya.

“Namun, ustaz melarang pelajar berkenaan makan kerana makanan itu diletakkan di dalam plastik sampah dan dikhuatiri menyebabkan kesan buruk seperti sakit perut atau cirit birit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Zakiyatul yang menetap di Taman Setapak, Kuala Lumpur berkata, tindakan individu terbabit keterlaluan memandangkan ada saluran betul untuk membantu sekiranya benar-benar ikhlas.

“Ada adab dalam bersedekah dan janganlah bersikap asal boleh saja kerana sekiranya berlaku perkara tidak diingini, pusat tahfiz yang dipersalahkan dan perlu bertanggungjawab.

“Tindakan seperti itu jelas merendahkan pelajar dan pengurusan tahfiz seolah-olah mereka kebulur untuk makan hingga tergamak bersedekah dengan cara sebegitu.

“Perkongsian saya itu bukan bertujuan meraih perhatian, tetapi peringatan dan iktibar untuk semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 10:15 PM