KIPAS siling terjatuh ke atas katil selepas Zaitun memetik suisnya.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“SYUKUR Allah SWT melindungi saya, tetapi sehingga hari ini, saya masih trauma kerana insiden itu berlaku di hadapan mata sendiri,” kata Zaitun Rashid.

Zaitun, 62, adalah ibu enam anak yang berdepan detik cemas selepas kipas siling di dalam bilik tidurnya terjatuh di atas katil hingga hampir mencederakannya.

Bagaimanapun, Zaitun yang menetap di Subang Permai, Shah Alam terselamat kerana tidak berbaring di atas katil ketika kejadian.

Insiden menakutkan itu dikongsikan anak bongsunya, Muhammad Danish Jamil, 19, menerusi Twitter dan mengundang pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya bersyukur kerana wanita berkenaan terselamat.

Zaitun berkata, kejadian berlaku pada 6.30 pagi Rabu lalu selepas dia selesai mengaji dan menunaikan solat di bilik berasingan.

“Pada hari berkenaan, saya bangun 4.30 pagi untuk menunaikan solat tahajud dan mengaji sementara menunggu masuk waktu Subuh.

“Selepas solat Subuh, saya kembali ke bilik tidur untuk berehat sementara menunggu masa untuk menunaikan solat Dhuha dan selepas menghidupkan suis, kipas siling itu berpusing sebelum jatuh ke atas katil.

“Sedikit lagi bilahnya terkena kepala dan pada waktu itu, saya hanya mampu mengucap kerana benar-benar terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Zaitun berkata, insiden itu kemudiannya dimaklumkan kepada Muhammad Danish di bilik sebelah dan seorang lagi anaknya, Maisarah, 29, yang tinggal bersama.

Katanya, ahli keluarga lain termasuk suaminya, Jamil Ismail, 63, yang bertugas di luar kawasan dimaklumkan menerusi perkongsian gambar dalam kumpulan aplikasi WhatsApp.

“Mereka terkejut, tetapi bersyukur kerana saya terselamat dan buat masa ini, saya masih tidur di bilik berkenaan tetapi hanya menggunakan kipas meja dan pendingin hawa.

“Fobia rasanya untuk menggunakan kipas siling kerana bimbang kejadian sama berulang.

“Kalau diikutkan, saya memang perasan kipas itu dalam keadaan sedikit senget sebelum ini dan ada memberitahu anak yang bekerja dalam bidang pendawaian mengenainya.

“Cuma, kipas itu tidak digantikan dengan yang baru kerana menurut anak, ia tidak akan memberi masalah, tetapi sebaliknya berlaku dan ini pengajaran untuk kami lebih peka dan berhati-hati selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Danish berkata, dia bersyukur kerana tiada perkara buruk yang berlaku terhadap ibunya.

“Saya berada di dalam bilik tidur ketika itu dan dikejutkan ibu yang memberitahu kipas siling di biliknya terjatuh.

“Dalam keadaan panik, saya ke biliknya dan melihat kipas berkenaan sudah berada di atas bantal.

“Saya kongsikan kejadian itu di Twitter dengan harapan insiden itu dapat meningkatkan kesedaran dan membuka mata untuk sentiasa menyelenggara perkakas elektrik di rumah mereka supaya tidak berdepan dengan situasi sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 9:30 PM