POSTING warganet (gambar kiri sekali) yang mengecam pengembaraan ‘ekstrem’ Zakuan bersama isteri dan bayinya (gambar kanan sekali) yang tular di media sosial. FOTO Media Sosial
Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my


“RAMAI salah faham dengan ‘posting’ itu sebab yang sebar pun guna tajuk yang buat orang salah faham,” dedah pengembara, Zakuan Faiz, 27.

Zakuan memberi reaksi itu selepas perkongsian kembara ke beberapa negara Eropah bersama isteri dan bayi mereka yang baru berusia beberapa bulan, dikecam warganet sejak semalam.

Kisah pengembaraan yang dikongsi di Facebook milik Zakuan sejak awal September dikecam kerana didakwa sanggup tidur di tepi jalan bersama bayi kecil kerana mahu berjimat.

Malah, dia dan keluarga didakwa sudah biasa tidur di lantai terminal lapangan terbang, selain hanya minum air paip dan makan biskut selama mengembara.

Manakala di Twitter, seorang pemilik akaun menangkap layar perkongsian itu dan menempelak tindakan Zakuan sebagai membahayakan bayi mereka, mendapat lebih 16,200 perkongsian dan 6,800 tanda suka.

“Penerbangan kami dari Poland masa itu tengah malam sampai di Milan, pagi-pagi buta. Saya tanya isteri, macam mana dan dia cakap tidur sekejap di lapangan terbang sementara menunggu bas pagi, baru cari hotel.

“Kalau ambil hotel sekarang, membazir saja. Isteri kata okay dan nak juga rasa bagaimana tidur di luar, ambil pengalaman baru. Jadi, dia tidur dengan anak, saya tidak tidur dan jaga barang-barang.

“Lagi pun, ramai lagi ‘orang putih’ dan pengembara lain tidur di lapangan terbang menunggu bas pagi,” katanya.


ZAKUAN bersama isteri dan bayinya ketika di sempadan Kosovo-Montenegro. FOTO Ihsan Zakuan

Zakuan yang mahu identiti dirahsiakan, memberitahu, kemudiannya polis menghampiri dan menyuruh semua yang tidur bangun kerana tidak dibenarkan baring kecuali duduk, lantas mereka terpaksa akur.

Tidak lama selepas itu, isterinya memberitahu sakit pinggang dan meminta mencari tempat untuk baring.

Menurutnya, ketika itu tinggal beberapa jam saja lagi akan masuk waktu solat Subuh jadi mereka nekad untuk tunggu dan solat di lapangan terbang.

“Selepas Subuh, bas sudah ada dan kami naik bas ke taman Citta Alta sebab orang kata situ cantik. Awal pagi sunyi sepi, tiada orang.

“Kalau ambil hotel pun, kena ‘check-in’ tengah hari, jadi selepas jalan-jalan ambil gambar, isteri nak tidur di kerusi taman sebab tiada orang pada awal pagi sementara menanti tengah hari.

“Jadi saya pun ambil giliran tidur sebab tidak tidur langsung sejak semalam. Selepas sejam, saya bangun dan suruh isteri pula tidur, manakala saya jaga anak dan barang,” katanya pada tengah hari, mereka terus menaiki bas mencari hotel penginapan lebih selesa.

Berkongsi mengenai anak, dia akui sudah menyediakan segala kelengkapan kerana mempunyai pengalaman mengembara hampir 50 negara sebelum ini.

Oleh itu, dia sudah ada pengalaman menempuh segala cabaran dan kemungkinan di negara asing.

“Dulu pergi seorang diri, lepas itu isteri cabar diri nak ikut dan sekarang mahu merasai pengalaman baru dengan membawa bayi kami.

“Alhamdulillah sudah sampai 22 negara dengan bayi dan sikit pun tidak meragam, sihat walafiat sebab kami memang jaga ‘gila-gila’.

“Kami tidur pun bergilir-gilir, sentiasa dengan selimut tebal dan lain-lain keperluan, malah bayi juga selesa,” jelasnya lagi.


ZAKUAN bersama isteri dan bayinya ketika di Austria. FOTO Ihsan Zakuan

Zakuan turut menafikan ‘mencuri’ makanan hotel sebaliknya apabila menginap di hotel, selalunya sarapan disediakan secara bufet.

Menurutnya, lebihan makanan di meja mereka berserta ‘Nuttela’ peket kecil, dibawa sebagai bekal dalam perjalanan.

Malah, kakitangan hotel juga tiada masalah sekiranya mereka mahu mengambilnya untuk dijadikan makanan tengah hari mereka bersama roti yang dibeli.

“Kami ada duit, kad kredit pun ada tapi isteri nak rasai pengalaman macam itu. Tambahan pula musim panas, jadi tak sejuk pun.

“Saya belum lagi bercerita pengalaman kami merentas Balkan, jalan gunung-ganang ikut jalan darat. Memang kami yang nak rasai pengalaman itu sebab sebelum ini sudah selalu sangat melancong guna pakej, orang urus, selesa dan lain-lain,” katanya.

Oleh itu kali ini mereka memilih nak sedikit ekstrem untuk pengalaman semata-mata. Bukan sebab miskin seperti didakwa segelintir warganet.

Dia yang kini berada di Turki bersama anak dan isteri akui, kalau mereka miskin, tidak sampailah mengembara ke lebih 40 negara.

“Semua okay saja, Alhamdulillah. Dengan anak sudah pergi lebih 20 negara. Kali ini, Allah pelihara, bayi dan isteri sihat.

“Cuma sekali saja terkandas di lapangan terbang di selama 12 jam sebab berlaku salah faham dengan tempat sewa kereta dan hotel.

“Nak baring tak boleh di terminal, hanya boleh duduk saja. Sebab itu isteri mengadu sakit pinggang. Sekali itu saja dia cakap sakit.

“Walhal waktu lain kami menginap di hotel, apartmen, Airbnb dan lain-lain kemudahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 9:02 PM