Keadaan sebelum dan selepas di lokasi yang disinggah Muhamad Mufarizam untuk kutip sampah ketika menjalankan aktiviti berbasikal di kawasan yang dilaluinya. Foto Ihsan Muhamad Mufarizam Yahir
Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my


KETIKA orang lain menghabiskan hari minggu bersama keluarga, lain pula dengan Muhamad Mufarizam Yahir, 36, yang melakukan khidmat murni mengutip sampah di bahu jalan dan lokasi tumpuan sambil mengayuh basikal.

Bagi pemuda kelahiran Terengganu ini, dia mengharapkan apa yang dilakukannya itu dapat menjadi ikutan dan teladan demi menjaga kebersihan.

“Kebiasaannya, hari minggu saya diisi dengan aktiviti mengayuh basikal sambil membawa plastik sampah.

“Nampak saja sampah, saya akan berhenti sebelum memasukkan sampah ke dalam plastik besar yang dibawa.

“Tidak kira di mana lokasi persinggahan saya, pasti ada saja sampah. Macam sudah sebati dalam diri, mata akan tercari-cari sampah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCORP) Johor itu berkata, dia melihat kebanyakan sampah di bahu jalan dibuang dari kenderaan.

“Disebabkan ini jugalah saya melakukan cabaran sampah ini untuk membuka mata orang ramai supaya tidak membuang sampah merata-rata dan kebersihan adalah tanggungjawab bersama.

“Setiap kali saya mengutip sampah, saya akan dihujani dengan hon daripada kenderaan lain dan ada yang mengucapkan terima kasih.

“Bagi saya, ia satu penghargaan bermakna walaupun hanya dengan dua patah perkataan tetapi berasa dihargai, disebabkan itu saya mahu orang ramai juga melakukan perkara sama dan menjadikannya amalan,” katanya yang kerap menjalankan aktiviti itu di sekitar Segamat, Johor dan kawasan dilaluinya.

Menurutnya, gambar dan videonya yang tular di media sosial memang sengaja dimuat naik di Facebook (FB) miliknya.

“Saya mahu orang ramai melihat dan menjadikannya amalan, tidak susah pun, nampak sampah kemudian masukkan ke dalam tong berhampiran.

“Kebiasaan sampah yang dikutip dianggarkan seberat 10 kilogram dengan radius hanya 10 meter,” katanya.

Menurutnya, khidmat murni itu dilakukan selepas melihat isu sampah tidak pernah selesai kerana sikap manusia.

“Saya juga berharap mentaliti suka membuang sampah keluar dari kenderaan dapat diubah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 8:00 PM