TOMPOKAN sisa minyak dikesan di sepanjang jajaran Pulau Rawa, Mersing. FOTO ihsan Jabatan Laut
Ibrahim Isa
Ibrahim@hmetro.com.my


SIAPA punya angkara apabila beribu liter sisa minyak dibuang ke laut hingga mencemarkan pusat peranginan terkenal Pulau Rawa dan Pulau Besar, Mersing.

Sehingga semalam Jabatan Laut Wilayah Selatan sudah mengumpul 100 beg berisi sisa tumpahan minyak di kawasan sepanjang 800 meter di pulau berkenaan sejak ia mula dikesan, Jumaat lalu.

Pengarahnya, Dickson Dollah berkata, tompokan minyak disedari penduduk sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihaknya.

Menurutnya, selain terapung di permukaan laut, tompokan turut mencemari kawasan perairan dan melekat di pantai pulau berkenaan.

“Berikutan itu, kami membekalkan absorbent boom bagi kerja pembersihan dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kluang, pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah Mersing dan penduduk tempatan bermula Jumaat lalu.


KERJA pembersihan pantai dilaksanakan serta-merta oleh JAS Kluang, Pejabat Daerah Mersing, PBT dan penduduk Pulau Rawa. FOTO ihsan Jabatan Laut

“Hasilnya, 100 beg sisa minyak dikumpulkan di jajaran 800 meter pantai Pulau Rawa dan ia akan dilupuskan.

“Kami dapati, tiada lagi tompokan sisa minyak di pantai dan perairan berhampiran Pulau Rawa namun masih meneruskan pemantauan,” katanya, semalam.

Menurutnya, hari ini pihaknya menghantar pasukan pemantau dron ke Pulau Rawa untuk melihat keadaan dari udara dan mengambil tindakan susulan sekiranya masih terdapat tompokan sisa minyak.

Katanya, pada masa sama Pasukan Melawan Tumpahan Minyak dihantar ke perairan Mersing untuk menyiasat sama ada terdapat baki tompokan minyak di perairan daerah itu.

“Kami belum mengenal pasti dalang yang melakukan perbuatan itu (membuang sisa minyak) namun percaya ia hanyut dari kawasan perairan dilalui kapal atau bot besar.

“Kami masih menjalankan siasatan bagi membendung kejadian ini berulang kerana ia akan menjejaskan keindahan dan hasil laut negara,” katanya.


SISA minyak yang dikumpul dimasukkan dalam beg plastik. FOTO ihsan Jabatan Laut

Siasat kapal besar laluan antarabangsa

Siasatan awal mengesyaki kapal besar yang melalui perairan antarabangsa berhampiran negeri ini dipercayai bertanggungjawab membuang sisa minyak sesuka hati ke laut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Tan Chen Choon berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 15 September lalu dan berusaha mengenal pasti punca kejadian.

Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius kejadian tumpahan minyak sepanjang 800 meter di perairan Mersing berhampiran Pulau Rawa dan Pulau Besar itu.

“Bagaimanapun, punca kejadian belum dikenal pasti berikutan tiada sebarang kejadian pelanggaran kapal atau penahanan kapal berdasarkan sumber daripada Jabatan Laut Malaysia.

“Dapatan awal setakat ini merumuskan kapal di perairan antarabangsa dilihat berpotensi sebagai punca kejadian,” katanya.


TAN Chen Choon. FOTO Nurul Amanina Suhaini

Menurutnya, berikutan itu kerajaan negeri menggerakkan pelbagai agensi berkaitan untuk melakukan pemantauan dan mengaktifkan pelan tindakan segera bagi mengekang insiden itu memberi kesan kepada perairan Mersing.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah memaklumkan insiden berkenaan kepada Jabatan Laut Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mempergiat pemantauan dan rondaan, manakala Pejabat Daerah Mersing mengaktifkan Pelan Pembersihan Pantai di kawasan terjejas.

“Pemantauan dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Taman Laut Malaysia Negeri Johor, namun tiada sebarang penemuan sisa minyak ditemui di perairan itu mungkin disebabkan ombak besar, angin kuat dan berjerebu.

“Bagi mengawal dan mencegah, kerajaan negeri meminta setiap agensi berkaitan melakukan latihan operasi pembersihan perairan secara bersepadu berdasarkan Pelan Pembersihan Pantai diselaraskan Pejabat Daerah Mersing.

“Langkah itu adalah satu keperluan bagi memastikan perairan Mersing yang juga aset pelancongan negeri ini, kekal terjamin dan bebas daripada pencemaran sekali gus menerima kunjungan pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 6:30 AM