VELODROM Nasional Nilai. FOTO Eizairi Shamsudin
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


TIDAK semua pihak berkemampuan mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi sehingga RM750 bagi menggunakan trek Velodrom Nasional Malaysia bagi tempoh dua jam.

Menerusi semakan di laman sesawang MSN, kadar sewa bagi penggunaan trek dibahagikan kepada tiga kategori dengan harga bermula dari RM750 hingga RM450 bagi satu sesi (dua jam).

Selain itu, ia turut menawarkan sewa untuk tempoh sehari bermula dengan harga RM5,400 hingga RM9,000 mengikut kategori.

Pandangan itu disuarakan dua bekas pelumba, Rosman Alwi dan Datuk Ng Joo Ngan yang mengharapkan Majlis Sukan Negara (MSN) dapat menimbang semula kadar sewaan yang dikenakan terhadap penggunaan trek di velodrom yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan itu.

“Pada pandangan saya, seharusnya harga yang dikenakan lebih murah terutamanya kepada persatuan negara bagi menggalakkan mereka menggunakannya dengan lebih kerap.

“Saya ada mendengar, atlet kebangsaan tidak dikenakan sebarang bayaran, jadi adalah wajar kadar sewa turut dikurangkan kepada pihak lain. MSN perlu melihat kembali tujuan asal velodrom dibina.

“Kebanyakkan persatuan negeri bukannya mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Saya fikir kadar RM250 untuk satu sesi lebih memadai sekiranya ia dapat dikaji semula,” jelas Rosman.

Beliau bagaimanapun memahami tindakan mengenakan kadar sewa adalah mungkin untuk mengimbangi kos penyelenggaraan namun ia tidak seharusnya terlalu membebankan pengguna.

“Bagi saya tempoh dua jam adalah tidak mencukupi bagi seorang pelumba trek seperti lebuh raya di mana mereka memerlukan latihan sehingga tiga atau empat jam sehari. Jadi, sekiranya ia dikurangkan, mungkin penggunaan akan lebih lama dan mendapat hasil latihan yang lebih baik.

“Ia belum dikira dengan kos lain yang perlu dibelanjakan seperti penginapan, pengangkutan dan makanan apabila mereka ‘berkampung’ di Nilai,” tambahnya.


DATUK Ng Joo Ngan

Nada sama turut disuarakan Joo Ngan yang melihat kadar sewa semasa yang mahal menghalang pasukan yang berminat untuk berlatih menggunakan trek.

“Kebanyakan kelab tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Saya sendiri bersama kelab di Kuala Lumpur ‘menumpang’ pasukan Sabah bagi latihan. Sebagai balasan, kami akan memberikan bantuan dari aspek yang lain kepada mereka.

“Saya fikir kadar sewa RM100 bagi tempoh sejam adalah munasabah namun jika percuma diberikan kepada kelab atau pasukan yang tidak berkemampuan, saya lagi gembira.

“Kami mempunyai jumlah pelumba trek yang ramai ketika ini. Saya gembira melihatnya namun dengan kadar sewa ditetapkan, ia boleh membantut perkembangannya. MSN harus menimbangkan perkara itu kerana pelumba yang dibangunkan akan mewakili negara atau berada dalam program mereka suatu hari nanti,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 6:00 AM