SHERRY berusaha dari bawah ketengahkan bakat hingga dihargai.
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@mediaprima.com.my


DALAM tempoh 10 tahun, artis serba-boleh, Sherry Al-Hadad berjaya meletakkan namanya sebaris dengan artis popular dan diyakini bakatnya. Pastinya itu pencapaian cukup membanggakan.

Dalam tempoh itu juga, Sherry atau nama sebenarnya Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad tidak pernah terkait dengan sebarang isu atau kontroversi yang boleh memberikan implikasi buruk terhadap kerjayanya.

Kehebatannya sebagai pelakon dan pengacara membolehkan pihak TV3 memberikan kepercayaan kepada wanita berusia 34 tahun ini untuk muncul dalam program bual bicara menggunakan jenamanya sendiri, The Sherry Show.

Selain itu, Sherry turut dikenali sebagai pengacara program realiti Big Stage untuk musim kedua di Astro Ria.

Walaupun kini di puncak kerjaya, semua itu tidak diperoleh dengan mudah. Ini kerana dia harus berusaha dari bawah bagi mengenengahkan bakatnya.

Berjuang dengan pandangan peminat dan pemerhati industri seni tempatan yang lebih menghargai mereka yang bertubuh langsing dan cantik membuatkan Sherry harus bekerja lebih keras berbanding artis lain.

“Apa yang saya peroleh sekarang bukannya kerja individu, sebaliknya bekerja secara berpasukan.

“Mereka inilah yang banyak membantu dan menolak saya untuk terus mendaki kejayaan. Namun, saya harus mendaki satu demi satu tangga sehingga berada di tahap sekarang,” katanya.

Walaupun mengambil masa panjang untuk membina kerjaya sebagai pelakon, pelawak dan pengacara, Sherry tetap gembira kerana dalam masa yang sama banyak ilmu yang dikutip.


SHERRY Al Hadad. FOTO: Zunnur al Shafiq

Sherry berkata, dia percaya jika dia memulakan kerjaya dan terus berada di puncak, dia tidak akan memperoleh kejayaan seperti sekarang.

Saya dilihat berjaya sekarang ini berkat daripada ilmu yang saya kutip satu-persatu sepanjang meneladani kerjaya seni. Bermula dari bawah menjadi satu kelebihan buat saya,” katanya.

Memulakan kerjaya sebagai pelakon menerusi drama Sutun pada 2006, kini nama Sherry lebih dikenali sebagai pengacara.Sherry berkata, kedua-dua bidang itu tidak ada bezanya.

“Falsafahnya adalah sama iaitu dalam bidang pengacaraan teori lakonan juga harus diaplikasikan. Iaitu reaksi dan memberikan reaksi. Lagipun sebagai penggiat, saya akan cuba lakukan apa saja yang boleh mencabar bakat yang saya miliki.

“Namun, saya tidak akan melakukan semua, sebaliknya saya hanya melakukan kerja seni yang saya yakin saya mampu buat dan mampu melakukannya dengan baik apabila saya melaksanakannya,” katanya.

Sudah melakukan semua perkara, apakah lagi impian Sherry yang belum lagi terlaksana atau dia berasakan cukup dengan apa yang sudah diraih sekarang ini?

“Jujur sehingga ke hari ini, apa saja perkara yang ingin saya cuba sudah pun dapat saya realisasikan. Terbaru saya kini sudah bergelar penerbit menerusi syarikat produksi Perempuan Productions yang saya tubuhkan bersama beberapa lagi teman rapat.

“Produk pertama ialah telefilem Geng di mana saya turut berlakon bersama dua lagi sahabat baik, Lisa Surihani dan Nadia Nisa. Saya bersyukur komen diberikan penonton juga agak positif.

“Cuma pada masa akan datang saya teringin untuk mendalami bidang penulisan skrip dan menghasilkan lebih banyak karya yang diangkat daripada hasil penulisan dan idea saya. Sebagai anak seni, saya suka berangan dan banyak idea atau cerita yang ingin dikongsi,” katanya.

TIPULAH KALAU TAK TERINGIN BERKELUARGA

Berbicara mengenai perihal peribadi terutama membabitkan soal jodoh dan teman hidup, kata Sherry, buat masa ini dia tidak terfikir mengenainya walaupun ada yang mengatakan usianya sudah agak lanjut.

“Mungkin kerana saya tidak pernah berasa tertekan setiap kali bercakap mengenai perkara ini. Keluarga sendiri tidak pernah bertanya. Pada saya kenapa kita harus memikirkan perkara yang di luar dari kemampuan kita untuk menentukannya. Bukankah jodoh dan ajal adalah ketentuan Allah.

“Bagaimanapun bohonglah kalau saya kata saya tidak pernah terfikir untuk berumahtangga. Sebagai seorang wanita sejati saya mengimpikan hidup berkeluarga. Malah itulah tangga hidup seorang wanita.

“Sejak kecil saya impikan apabila dewasa selepas berjaya membina kerjaya saya mahu membina keluarga pula, tetapi saya tidak pernah menekan diri untuk mengejar perkara itu. Sebaliknya saya menyerahkannya kepada ketentuan-Nya,” katanya.

TRIVIA

- Bersaudara dengan adik-beradik popular yang terlebih dulu menjadi pelakon iaitu Sharifah Haslinda, Sharifah Shahirah dan Sharifah Sakinah.

- Bapanya berasal dari Terengganu manakala ibunya dari Sarawak. Mereka menetap di Taman Melati, Kuala Lumpur sejak Sherry kecil.

- Pernah menjadi tenaga pengajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan Teater.

- Pernah beraksi dalam teater yang berjaya mencatat kutipan pecah panggung dan memegang watak utama sebagai Nyonya dalam Mak Dara Nyonya (2011) dan Nyonya & The Gang (2012).

- Pernah mengendalikan program Melodi di TV3 bersama teman baiknya Zulin Aziz dan pengacara tetap ketika itu Awal Ashaari selama enam bulan.

- Pertama kali digandingkan dengan Alif Satar sebagai pengacara menerusi program reality Rockanova. Mereka berdua turut diberi peluang mengendalikan majlis besar dan berprestij Anugerah Juara Lagu ke-32.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 5:20 AM