KHAI selesa bersederhana, jadi diri sendiri dan berkongsi kerjaya nyanyian.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENCAPAIAN diraih penyanyi popular, Khai Bahar sepanjang tiga tahun berada dalam industri muzik cukup membanggakan.

Ia bukan saja menjadi catatan peribadi dirinya, tapi juga untuk peminat tercinta, Khai Bahar Empire yang menjadi tulang belakang kerjayanya selama ini.

Selesa menjadi diri sendiri, Khai, 25, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, dia juga seorang yang bersederhana.

Malah, personaliti yang dimiliki itu membuatkan Khai cukup disenangi orang sekeliling, sekali gus menyayangi dirinya seperti ahli keluarga sendiri.

“Dari awal pembabitan dalam bidang ini, apa yang semua orang tengok itulah saya. Di rumah atau di luar, saya sama saja. Saya memang selesa menjadi diri sendiri.

“Cuma, ada situasi tertentu saya kena menjaga adab. Tak boleh juga terlalu kecoh. Nanti orang meluat. Dalam erti kata lain, saya bersederhana saja.

“Begitu juga dalam kehidupan seharian. Saya bukan suka menunjuk-nunjuk. Saya lebih suka berkongsi mengenai kerjaya nyanyian. Sebab itu, saya banyak video menyanyi,” katanya.

Khai berkata, bidang ini memerlukan dia sentiasa berhati-hati terutama dalam soal memilih kawan.

Namun, tidak bermakna dia perlu mengasingkan diri dengan individu yang sering dianggap punca kepada kontroversi.

“Saya okey dan boleh saja berkawan dengan sesiapa. Saya tak pernah memilih kawan. Cuma, saya bukan kaki lepak. Ada waktu tertentu saja. Selebihnya saya banyak habiskan masa di rumah.

“Kalau di tempat kerja, saya bergaul macam biasa dengan rakan dalam industri hiburan. Jika ada aktiviti dengan peminat, saya cuba luangkan masa dengan mereka pula.

“Saya percaya, apabila kita menjaga soal perhubungan dengan orang sekeliling, sekali gus ia dapat menjaga diri kita daripada terbabit dengan perkara yang tidak diingini. Pokok pangkalnya, diri sendiri kena bijak memilih,” katanya.

Tak letak harapan

Berkongsi mengenai pencalonannya dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular buat kali ketiga pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang bakal berlangsung Ahad ini, Khai berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi.

Bagi Khai, untuk mempertahankan kemenangan bukanlah sesuatu yang mudah.

“Semua tahu ABPBH ditentukan oleh pengundi. Jadi, bagi saya apa saja boleh berlaku. Saya tidak boleh menafikan finalis lain. Masing-masing ada kelebihan dan kekuatan.

“Saya hanya berserah dan jika ada rezeki, mungkin saya menang lagi. Tapi, saya tahu peminat iaitu KBE sudah menjalankan tugas mereka.

“Saya sangat menghargai usaha mereka. Boleh dikatakan setiap hari dan 24 jam tanpa henti mereka mengundi saya. Disebabkan itu, kalau saya menang, saya anggap ini kemenangan untuk mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khai teruja apabila dapat berlakon dalam drama Satukan Rasa terbitan Suhan Movies.

“Sebelum memulakan penggambaran, saya dan pelakon lain ada berjumpa dengan penerbit iaitu Datuk Rosyam Nor. Dia banyak memberi tip dan nasihat.

“Dia juga memberikan banyak contoh penyanyi menjadi pelakon yang berjaya. Jadi, dia berharap saya dapat memberikan yang terbaik demi kelangsungan kerjaya.

“Walaupun tidak berlakon dengannya,

tapi perkongsian pengalaman yang dia ada itu sudah cukup untuk saya bawa dalam drama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 5:15 AM