MOHAMAD Hafiz dan Noradilah meraikan ulang tahun kelahiran anak mereka, baru-baru ini. (Gambar kanan) Status dimuat naik Mohamad Hafiz mengenai keputusannya berhenti merokok. FOTO ihsan Mohamad Hafiz Jalaludin.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“TARIKH 15 September lalu adalah ulang tahun kelahiran pertama anak saya dan disebabkan dia masih kecil, saya tekad berhenti merokok sebagai hadiah untuknya,” kata bekas perokok tegar, Mohamad Hafiz Jalaludin.

Mohamad Hafiz, 30, yang juga peguam mencuri perhatian warganet selepas berkongsi hasratnya untuk berhenti merokok sempena ulang tahun kelahiran pertama anaknya, Norhafizah menerusi ciapan gambar dengan kapsyen ringkas di Twitter, Ahad lalu.

Rata-rata warganet menyambut baik usaha Mohamad Hafiz dan sehingga kini, ciapan berkenaan mendapat 19,300 tanda suka dan 18,200 ulang ciap.

Bercerita lanjut, Mohamad Hafiz berkata, dia mula merokok sejak berusia 14 tahun dan sudah menjadi kebiasaannya untuk menghabiskan 20 batang rokok setiap hari.

Katanya, ibu bapanya pernah memintanya berhenti merokok dan dia berjanji untuk tidak meneruskan tabiat itu selepas mendirikan rumah tangga, tetapi tidak berhasil.

“Sebenarnya, hasrat itu (berhenti merokok) sudah beberapa kali tertangguh dan isteri saya, Noradilah Mohd Isa, 30, pernah merungut kerana saya masih berterusan merokok walaupun pernah berjanji untuk berhenti selepas berkahwin.

“Malah, tabiat itu sudah sebati dengan diri saya dan sebahagian cara untuk menghilangkan tekanan ketika di tempat kerja dan rutin sewaktu keluar makan bersama rakan.

“Namun, keinginan berhenti merokok timbul dua hari sebelum ulang tahun kelahiran Norhafizah (anak) dan ia dilakukan dengan kerelaan sendiri tanpa paksaan daripada sesiapa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi pengalamannya pada hari pertama berhenti merokok, Mohamad Hafiz berkata, dia mengalami muntah berterusan selepas menggunakan ubat tampal (koyok) pada bahagian badan bagi menghilangkan keinginan untuk merokok.

Katanya, keadaan itu berlaku disebabkan tindak balas badannya yang masih dalam proses menyesuaikan diri selepas seharian tidak merokok.

“Saya ada merujuk masalah itu kepada doktor dan dia mengatakan ia berlaku kerana kesan tindak balas koyok itu terlalu kuat untuk badan saya.

“Sebagai alternatif, doktor memberikan ubat tetapi keinginan merokok jadi semakin kuat selepas menanggalkan koyok dan saya cuba kawal diri dengan melayari laman sosial serta melakukan aktiviti lain.

“Sejak hari pertama, isteri banyak memberi sokongan dan saya berharap misi ini berjaya kerana selain anak, keputusan itu diambil selepas memikirkan kesannya kepada kesihatan diri, keluarga serta individu sekeliling untuk jangka masa panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Hafiz berkata, dia tidak sangka ciapannya di Twitter akan mendapat pelbagai reaksi warganet kerana sekadar berkongsi pengalamannya dengan pengikut di platform berkenaan.

“Kalau diikutkan, ciapan itu hanyalah luahan peribadi saya saja, tetapi ramai memberi maklum balas dan rata-ratanya menyokong tindakan saya. Syukur, Alhamdulillah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 10:00 PM